KOTA KINABALU: Sabah masih ada lebih 400 kekosongan jawatan guru interim di sekolah rendah dan menengah seluruh negeri, tahun ini.
Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin, berkata Jabatan Pendidikan Sabah diberikan peruntukan kuota 750 guru interim dan setakat ini hanya 296 sudah diisi.
“Kita sudah melantik 130 guru interim untuk subjek Pendidikan Islam, manakala 166 lagi bagi pelbagai mata pelajaran lain.
“Masih ada kira-kira 400 kekosongan. Sehubungan itu, kami mengalu-alukan mereka yang memiliki ijazah pertama dan belum ada pekerjaan, untuk memohon.
“Kita akan membuat pemilihan. Mereka yang terpilih akan dipanggil untuk menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) kerana kita mahu melantik guru yang berkualiti untuk ditempatkan di sekolah.
“Saya berharap dengan adanya guru interim ini, masalah kekurangan guru di Sabah dapat diatasi. Sabah ada lebih 40,000 guru tetapi belum mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan surat penempatan kepada 166 guru interim di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, dasar nisbah 90:10 bagi penempatan guru berasal dari Sabah di negeri ini berjalan lancar dan hampir mencapai sasarannya.
“Setakat ini, dasar nisbah 90:10 itu untuk sekolah rendah sudah mencapai 94 peratus, manakala sekolah menengah kini sebanyak 98 peratus.
“Proses ini masih berjalan dan akan berlanjutan hingga 2021,” katanya.
Sumber : BH, 25 Julai 2019
Sumber : BH, 25 Julai 2019
No comments:
Post a Comment