Powered by Blogger.

Friday, December 24, 2010

MRSM kekalkan kecemerlangan dalam PMR

  NR       Friday, December 24, 2010
KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekali lagi mengekalkan kecemerlangannya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan 20 MRSM mencapai keputusan lebih daripada 60 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ibrahim Ahmad, berkata daripada 5,068 calon dari 36 buah MRSM, jumlah yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran ialah 3,129 orang iaitu peningkatan sebanyak 2.17 peratus berbanding 59.03 peratus tahun lalu.


"Pencapaian MRSM dalam peperiksaan PMR 2010 adalah cemerlang dan bertambah baik berbanding dengan pencapaian pada tahun lalu iaitu daripada Gred Purata Maktab (GPM) 1.0992 kepada 1.0531," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata MRSM Pasir Tumboh muncul sebagai MRSM cemerlang dengan mendapat peratus tertinggi mengikut pencapaian GPM iaitu 92.20 peratus pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran, diikuti MRSM Pasir Salak (81.2 peratus) dan MRSM Kuala Klawang (79.9 peratus).

Sebanyak 18 MRSM menunjukkan peningkatan daripada segi nilai GPM, katanya.

Ibrahim berkata, 16 MRSM juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian peratusan pelajar yang mendapat semua A yang mana MRSM Besut mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 30.53 peratus.

"Bilangan pelajar MRSM yang mendapat pencapaian mengikut syarat minimum 6A2B (Matematik A, Sains A) ialah seramai 4,438 orang atau 87.57 peratus berbanding 3,498 orang pada tahun lepas," katanya.
Beliau berkata empat mata pelajaran mencatatkan peningkatan peratus pencapaian gred A pada tahun ini iaitu Sains (+3.9 peratus), Bahasa Inggeris (+2.6 peratus), Bahasa Melayu (+2.0 peratus) dan Sejarah (+1.8 peratus). - BERNAMA
logoblog

Thanks for reading MRSM kekalkan kecemerlangan dalam PMR

Previous
« Prev Post

No comments: