MELAKA 19 Dis - Seorang guru tidak menyangka kedatangannya menaiki bot Melaka River Cruise bersama 18 rakannya yang juga bekas pelajar di Maktab Perguruan Melayu Melaka (MPPM) membawa tuah kepadanya.
Roslina Mohd. Nasir, 50, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang dekat sini dipilih menjadi pengunjung ke-900,000 menaiki bot Melaka River Cruise.
Dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengurus Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Abdol Mutalib Che Man selepas membeli tiket untuk menaiki bot tersebut semalam.
"Saya memang tidak sangka dipilih sebagai pengunjung ke-900,000 menaiki bot ini dan tidak terfikir untuk menerimanya.
"Kami bekas pelajar MPPM berkumpul selepas 27 tahun dan memilih menaiki bot Melaka River Cruise untuk merasai pengalaman keindahan menyusuri sungai Melaka," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Abdol Mutalib kemudian menyampaikan sebuah hamper kepada Roslina sebagai pengunjung ke-900,000 dan PPSPM turut menyediakan bot khas untuk membawa bekas pelajar MPPM.
Roslina berkata, dia merancang beriadah di sekitar bandaraya Melaka untuk melihat kemajuan yang dicapai dalam sektor pelancongan bersama rakan-rakan yang datang dari Kelantan, Perak, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan.
"Setakat ini, apa yang dapat dilihat, pembangunan Melaka amat pesat dan ianya sangat berbeza semasa kami mendapat latihan di MPPM dulu, oleh itu, tidak hairanlah Melaka kini mendapat status Melaka Maju pada 2010 lalu," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment