MIRI: Seorang guru sebuah sekolah menengah di Niah telah ditangkap polis kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur yang juga merupakan anak saudaranya.
Suspek, 27, telah ditangkap sekitar jam 4 petang, 5 Januari lalu ketika datang menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri di sini.
Terdahulu, pada jam 2 petang hari sama (5 Januari), ibu mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Pusat di sini kerana mengesyaki anak perempuannya yang berusia 15 tahun telah dirogol oleh suspek yang juga telah berkahwin.
Menurut sumber, kejadian didakwa berlaku pada malam 1 Januari lalu ketika kedua-dua ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana menghadiri satu majlis perkahwinan di Bintulu.
Kejadian itu hanya disedari beliau (ibu mangsa) setelah diberitahu oleh adik perempuannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, suspek yang merupakan seorang guru sebuah sekolah di Niah telah ditangkap mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan ketika datang menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri di sini sekitar jam 4 petang, 5 Januari lalu.
“Kita akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui sejauh mana penglibatan suspek dalam kes ini,” katanya sambil menambah mangsa yang juga sama rumah panjang dengan suspek telah dihantar ke Hospital Miri bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
No comments:
Post a Comment