Kota Samarahan – Malang tidak berbau, seorang guru besar ditetak dan dipukul semasa bergelut dengan empat lelaki dalam kejadian rompakan bersenjata awal pagi tadi.
Mangsa yang merupakan guru besar di sebuah sekolah rendah di Siburan cedera di bahagian belakang akibat ditetak menggunakan parang.
Dalam kejadian di Kampung Meranek, Kota Samarahan sekitar jam 2.39 pagi tadi, mangsa dan isteri yang juga seorang guru serta dua anaknya kemudian diikat menggunakan tali caj bateri telefon dan tali leher.
Selepas diikat, perompak berkenaan meminta wang tunai, emas dan komputer riba. Dalam tempoh enam minit,perompak itu melarikan wang tunai RM800, dua buah komputer riba (satu milik peribadi dan satu milik kerajaan) dan lima unit telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM6,000.
Menurut mangsa, keempat-empat perompak itu bertutur menggunakan bahasa Indonesia.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Abdul Rahman Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata, perompak bertopeng itu bersenjatakan parang, pisau Rambo dan pemotong.
Ini berdasarkan penemuan sebilah parang yang dibuang kira-kira 10 meter di belakang pintu rumah mangsa.
“Kita telah menghantar unit anjing pengesan dan forensik ke lokasi kejadian. Setakat ini kita masih melakukan siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment