Powered by Blogger.

Sunday, February 20, 2011

K’jaan utamakan akses dan perluasan peluang pendidikan, latihan: Fatimah

  NR       Sunday, February 20, 2011

KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Konsep 1Malaysia amat menitikberatkan akses dan usaha perluasan peluang pendidikan dan latihan kepada semua rakyat.
TERTARIK: Fatimah tertarik dengan potret beliau yang diberikan salah seorang pempamer sebagai penghargaan. Turut kelihatan Phyllis (tiga kanan). — Gambar Kong Jun Liung
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata ia agar tidak ada rakyat, termasuk etnik minoriti yang berada jauh di pedalaman terpinggir daripada arus pembangunan modal insan.
“Dengan adanya pendidikan dan latihan yang secukupnya, pembangunan sosioekonomi yang seimbang antara wilayah atau kaum di Sarawak akan mudah dicapai.
“Selain itu, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk membangunkan tenaga profesional, pekerja mahir dan separa mahir bagi tujuan pembangunan ekonomi daripada sumber manusia yang berada di luar bandar,” katanya berucap merasmikan ‘The Borneo Post International Education Fair’ (BPIEF) 2011 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Justeru beliau berharap usaha penganjur BPIEF untuk menganjurkan pameran sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) perlu diteruskan.
Ia katanya untuk menyediakan akses mengenai maklumat peluang bagi melanjutkan pengajian dan latihan kepada lepasan sekolah dan pelajar sekolah di negeri ini.
Menurut Fatimah, tidak mengira pengunjung itu lepasan sekolah, pelajar sekolah atau golongan dewasa bekerja yang ingin melanjutkan pengajian, mereka akan mendapat manfaat daripada penyediaan pendidikan yang pelbagai sepanjang acara dua hari itu.
“Tahun lepas Sarawak mencatat 40,029 lepasan sekolah iaitu 35,349 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 5,680 lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kita berharap mereka akan menggunakan peluang yang disediakan oleh BPIEF 2011 bagi merealisasikan latihan dan pendidikan mereka pada masa depan,” tegasnya.
Sementara itu Pengerusi BPIEF Dorge Rajah dalam ucapannya berkata BPIEF 2011 merupakan platform kepada semua pendidik bagi membantu ibu bapa dan pelajar lebih bijak memilih kursus dan institusi pengajian.
“Dengan sokongan kerajaan negeri, kami berjaya mengumpulkan 111 pempamer dan 20 daripadanya adalah dari negara China selain negara lain dan Malaysia yang menawarkan pelbagai kursus daripada pendidikan awal kanak-kanak hingga dewasa.
“Sokongan kuat daripada kerajaan merupakan asas dalam memastikan pendidikan kepada semua rakyat.
“Pendidikan berkualiti juga penting untuk meningkatkan taraf kehidupan serta membina bangsa dan negara,” katanya.
Hadir sama Penasihat BPIEF Phyllis Wong dan Adeline Lau.
BPIEF 2011 yang kali kedua diadakan pada tahun ini adalah anjuran Borneo Post.
Pameran yang bermula semalam dan berakhir hari ini berlangsung dari jam 11 pagi hingga 7 malam.
logoblog

Thanks for reading K’jaan utamakan akses dan perluasan peluang pendidikan, latihan: Fatimah

Previous
« Prev Post

No comments: