Powered by Blogger.

Saturday, February 19, 2011

TPM setuju segera tambah sekolah di kawasan Permyjaya dan Senadin

  NR       Saturday, February 19, 2011
MIRI: Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi persetujuan untuk menyegerakan pembinaan masing-masing dua buah sekolah rendah dan menengah di kawasan Permyjaya dan Senadin.
Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin berkata Muhyiddin memberi jaminan itu kepada beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Miri di sini lewat petang Khamis lalu sebelum berlepas ke Kuching.
“TPM telah bersetuju untuk memberi keutamaan terhadap pembinaan dua buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah di kawasan Permyjaya (kawasan Desa Senadin) dan Tudan di sini dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10),” jelasnya.
Manakala empat sekolah yang dicadangkan itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permyjaya dan SMK Tudan serta Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan Jaya dan SK Desa Senadin.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata pembinaan segera empat sekolah itu adalah sebagai jalan penyelesaian kepada masalah kesesakan pelajar di beberapa sekolah sedia ada sekarang berikutan bertambahnya penduduk di tiga kawasan perumahan terbabit iaitu Senadin, Tudan dan Permyjaya.
“Lazimnya sebuah sekolah menengah hanya menempatkan seramai 1,000 pelajar pada satu-satu masa, sedangkan populasi Permyjaya sekarang adalah seramai 100,000 orang. Justeru proses mempercepatkan pembinaan sekolah baru itu amat dinanti-nantikan,” katanya sambil menambah tapak untuk membina sekolah-sekolah berkenaan telah disediakan.
Buat masa sekarang, kawasan Tudan dan Permyjaya mempunyai dua buah sekolah menengah iaitu SMK Merbau dan SMK Pujut serta empat sekolah rendah terdiri daripada SK Merbau, SK Tudan, SK Senadin dan SJK Chung Hua.
Selain itu, menurut Lee, TPM juga telah bersetuju untuk menaik taraf jalan pesisir pantai Bakam-Tanjung Kidurong dari Tahap R3 yang ada sekarang kepada Tahap R5 bagi membolehkan ia menampung kenderaan berat.
“Saya berasa amat gembira kerana Tan Sri Muhyiddin sanggup mengambil risiko dan cabaran dengan menggunakan jalan darat dari Batu Niah ke Lapangan Terbang Miri petang semalam untuk melihat sendiri keadaan jalan berkenaan yang beralun dan tidak rata serta perlu dinaik taraf,” katanya.
“Jalan berkenaan akan dinaik taraf ke Tahap R5 bagi menampung kenderaan berat memandangkan permukaan jalan berkenaan sangat beralun dan tidak rata kerana dibina di atas tanah berpaya dan TPM bersetuju agar ia dinaik taraf.”
Hadir sama mengucapkan selamat jalan kepada TPM dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta rombongan termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Residen Miri Antonio Kahti Galis serta beberapa ketua jabatan kerajaan.
logoblog

Thanks for reading TPM setuju segera tambah sekolah di kawasan Permyjaya dan Senadin

Previous
« Prev Post

No comments: