Powered by Blogger.

Wednesday, March 02, 2011

Guru dan murid jadi ‘kuli’

  NR       Wednesday, March 02, 2011
MAPIM dakwa kontraktor mempergunakan warga sekolah secara percuma untuk membantu siapkan projek mereka
DIPERGUNA: Guru dari sebuah sekolah rendah di luar bandar membantu kontraktor mengangkat barang Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ke sekolah.
KUCHING: Majlis Permaufakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Sarawak mengesan terdapatnya segelintir kontraktor mempergunakan tenaga guru dan murid secara percuma dalam melaksanakan projek mereka di sekolah-sekolah luar bandar, untuk kepentingan diri.
Presiden MAPIM Sarawak, Wan Zain Syed Mohdzar mendakwa ada kontraktor yang melibatkan penyertaan guru dan murid-murid sekolah untuk ‘membantu’ menyiapkan projek sekolah mereka terutamanya di kawasan luar bandar.
Wan Zain berkata, kejadian yang didakwa itu telah menjadi amalan kontraktor berkenaan dan ia merupakan perkara yang amat menyedihkan bagi pertubuhan itu.
“Kejadian seumapama ini, saya rasa adalah untuk membolehkan pihak kontraktor mengurangkan kos dengan mendapatkan lebih keuntungan hingga telah merosakkan banyak projek sekolah di luar bandar dan seterusnya menjurus kepada hasil yang tidak berkualiti,” jelas beliau.
Di samping itu, terdapat juga kontraktor makanan dengan secara mudah mendapatkan khidmat percuma guru dan murid-murid untuk memikul barangan berkenaan ke sekolah.
Bagi murid-murid katanya, perkara itu bukan sekadar membantu kerana mereka dididik dengan moral yang tinggi tetapi sikap ‘ringan tulang’ murid-muird di luar bandar yang tidak mudah mengeluh ini tidak wajar dipergunakan oleh pihak kontraktor untuk kepentingan diri, sedangkan mereka dibayar oleh pihak kerajaan untuk menjalankan amanah di sekolah-sekolah tersebut.
“Terdapat kontraktor yang mempergunakan guru dan murid-murid sekolah di luar bandar untuk membantu menjalankan kerja-kerja binaan atau mengangkut barangan makanan untuk mereka.
“Saya amat sedih apabila mendapati perkara ini berlaku,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang dimuatkan pada muka muka depan akhbar ini semalam yang bertajuk ‘Kontraktor gagal, dimarahi’.
Laporan itu menyebut, Kementerian Pelajaran menyelar tindakan sesetengah kontraktor yang gagal menyiapkan bangunan kelas kabin di negeri ini mengikut standard dan tempoh yang ditetapkan.
“Saya memuji tindakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ke atas kontraktor terbabit,” kata Wan Zain.
Bagaimanapun, katanya Kementerian Pelajaran juga harus melihat masalah lain yang lebih serius, terutama dalam melibatkan penggunaan tenaga sekolah untuk ‘menjalankan’ kerja-kerja yang diberikan dan dibayar kepada mereka.
Katanya, tindakan kontraktor seperti itu bukan sahaja salah dari aspek spesifikasi kontrak malah mereka telah mempergunakan tenaga kerja sekolah untuk kepentingan sendiri.
logoblog

Thanks for reading Guru dan murid jadi ‘kuli’

Previous
« Prev Post

No comments: