Powered by Blogger.

Saturday, June 18, 2011

Penguasaan Matematik antara syarat utama capai kecemerlangan akademik

  NR       Saturday, June 18, 2011

TANDA INGATAN: Tun Salahuddin (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang wakil peserta program sambil disaksikan oleh Toh Puan Norkiah (tiga kanan), Mawan (dua kanan) dan Wan Zain (dua kiri).

KUCHING: Penguasaan subjek Matematik merupakan antara syarat utama untuk mencapai kecemerlangan akademik, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Tan Sri William Mawan Ikom.
Ini kerana beliau percaya, dengan menguasai subjek Matematik akan merangsang pemikiran dan memudahkan pelajar menguasai subjek-subjek lain.
Justeru beliau mengharapkan agar golongan muda termasuk warga pendidik dapat terus menimba ilmu dan pengalaman terutamanya dalam menguasai subjek Matematik ke arah kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Kebijaksanan dalam Matematik akan membuka peluang kepada kepintaran dalam subjek lain termasuk subjek Kimia, Geografi, Sejarah, Agama dan lain-lain.
“Oleh itu, pelajar perlu didedahkan dengan kaedah-kaedah yang mampu memberikan kemahiran dalam kecepatan mengira berbanding penggunaan kalkulator serta tanpa perlu melalui tempoh latihan mengira yang keterlaluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan ‘Summer Camp’ Program Kaedah Mokhdar Sempena Musim Cuti Sekolah 2011, di Astana Negeri, di sini semalam.
Program Kaedah Mokhdar yang diadakan selama tujuh hari bermula 6 Jun lepas bertujuan memperkasakan minda Matematik modal insan di negeri ini bagi melonjakkan kecemerlangan pembelajaran Matematik dan Sains.
“Saya difahamkan bahawa kaedah ini merupakan ‘gateway’ kepada kebolehan peserta untuk lebih bijak dan mengenali dengan lebih mudah tentang subjek-subjek lain.
“Dengan kaedah ini, diharapkan beban minda dan tenaga dalam menyelesaikan masalah-masalah Matematik pada tahap yang tinggi dapat dikurangkan,” katanya.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan agar sikap tunggu dan lihat perlu dikikiskan dalam diri terutamanya dalam menempuhi dunia globalisasi kini.
“Tiada kejayaan tanpa usaha dan kita tidak dapat mencapai apa-apa jika kita masih mempunyai sikap tunggu dan lihat kerana kehidupan harus diteruskan dan mereka yang mempunyai sikap ‘tidak apa’ akan ketinggalan dalam dunia globalisasi yang penuh cabaran ini,” katanya.
Program tersebut yang disertai kira-kira 270 peserta iaitu pelajar-pelajar dari seluruh bandar raya Kuching merupakan anjuran bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dan Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM).
Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.
Hadir sama juga ialah Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah dan pengerusi bersama jawatankuasa pengelola program tersebut Wan Zain Syed Mohdzar.
- UB
logoblog

Thanks for reading Penguasaan Matematik antara syarat utama capai kecemerlangan akademik

Previous
« Prev Post

No comments: