Powered by Blogger.

Wednesday, September 11, 2013

Masalah Penglihatan, Rigneshak Murid Pertama di Malaysia Jawab UPSR Guna Kertas Jawapan Bersaiz Besar

  NR       Wednesday, September 11, 2013


SUNGAI PETANI: Seorang calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mengalami masalah penglihatan, menjadi calon pertama di Malaysia berpeluang menjawab soalan peperiksaan menggunakan kertas jawapan bersaiz besar.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat berkata pelajar lelaki berkenaan, K.Rigneshak Kumar, 12, diberi kelulusan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk menjawab soalan menggunakan kertas mahjung.

Beliau berkata saiz kertas berkenaan ialah 109 sentimeter (sm) panjang dan 79sm lebar bagi soalan bertulis, manakala kertas mahjung bersaiz 55sm lebar dan 75sm panjang bagi soalan objektif dengan menggunakan ‘marker pen’.

“Masalah kesihatan pelajar ini dikesan sekitar Mei lalu, bagaimanapun dia tetap dapat peluang untuk menjawab peperiksaan seperti calon-calon UPSR yang lain.

“Untuk membantunya menduduki peperiksaan yang bermula hari ini, soalan peperiksaan untuk semua subjek akan dibacakan oleh pengawas peperiksaan yang bertugas,” katanya pada sidang media selepas meninjau peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani, dekat sini semalam.

Sementara itu, ayah pelajar berkenaan K.Kaneshan, 51, berkata masalah penglihatan anak keduanya itu dikesan ketika berusia lapan tahun namun ketika itu tidak begitu serius.

“Sekitar Mei lalu, masalah penglihatannya semakin teruk dan doktor mengesahkan dia mengalami ‘Accomadative Spasm’. Kami memang tidak jangka memandangkan ia tidak terjadi pada adik-beradiknya yang lain.

“Saya lihat semangat anak saya ini kuat, walaupun mengalami masalah penglihatan dia tetap belajar bersungguh-sungguh untuk menduduki UPSR. Sebagai ibu bapa kami turut membantu menyediakan nota dengan tulisan besar untuk dia mengulang kaji di rumah,” katanya. — Bernama

logoblog

Thanks for reading Masalah Penglihatan, Rigneshak Murid Pertama di Malaysia Jawab UPSR Guna Kertas Jawapan Bersaiz Besar

Previous
« Prev Post

No comments: