KOTA BHARU 4 Okt. - Pepatah ada mengatakan, 'tak kenal maka tak cinta.' Itulah yang dilalui oleh dua pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) ketika berpeluang menyertai Program Asian Pasific Youth Caravan (APYC) ke Korea Selatan baru-baru ini.
Pandangan skeptikal mengenai masyarakat negara terbabit yang kononnya sombong, akhirnya lebur apabila mereka disapa dengan penuh mesra sebaik menjejakkan kaki di negara yang cukup popular dengan cerita 'Winter Sonata' itu, pada 20 September lalu.
Lantaran itu, keramahan masyarakat Korea tersebut cukup mengujakan dua pelajar PKB terbabit iaitu Nur Solehah Abdul Rahman, 24, pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal Pertanian dan rakannya, Shahrul Ridzwan Bokhari, 22.
Bagi Nur Solehah, keramahan yang ditonjolkan oleh masyarakat Korea ketika menyambut kedatangan peserta menyebabkannya cepat terasa menjadi sebahagian daripada mereka.
"Saya terkejut dengan layanan yang diberikan oleh masyarakat di sana. Tindakan tersebut memperlihatkan masyarakat di sana cukup menghormati tetamu dan perlu diraikan dengan sebaik mungkin.
"Mereka hormat saya sebagai seorang Islam, contohnya ketika masuk waktu solat, mereka akan memberitahu dan menyediakan tempat untuk saya menjalankan kewajipan tersebut.
"Selain itu, dalam aspek pemakanan mereka tidak pernah menyediakan makanan tidak halal kepada saya sebaliknya menyuruh memakan sayur-sayuran sahaja," katanya ketika ditemuiUtusan Malaysia semalam, sekembali daripada menyertai program tersebut.
Ini membuatkannya berasa begitu selesa sepanjang mengikuti program berkenaan.
Nur Solehah memberitahu, pengalaman 10 hari di negara terbabit sudah cukup untuk mempelajari dan menimba ilmu berharga terutama aspek sosio budaya masyarakat di negara itu yang boleh dijadikan contoh.
"Antara perkara yang dapat saya pelajari sepanjang berada di sana ialah sikap masyarakat Korea Selatan yang cukup mementingkan kebersihan. Buktinya bilangan tong sampah yang diletakkan di kawasan awam cukup sedikit tidak seperti di negara ini," ujarnya.
Sementara itu, Shahrul Ridzwan berkata, dia banyak mempelajari perkara baru sepanjang berada di negara berkenaan.
"Sepanjang berada di sana saya lihat masyarakat Korean cukup menjaga budaya mereka. Walaupun sudah menjadi negara maju budaya asal tetap utuh diamalkan. Selain itu, saya juga dapat lihat bagaimana mereka memperkenalkan budaya mereka melalui gelombang muzik yang di kenali sebagai 'wave'," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah PKB, Noor Azhan Othman meluahkan rasa bangga dengan kejayaan pelajarnya yang mewakili negara dalam program berkenaan.
"Kejayaan tersebut membuktikan pelajar Politeknik mampu bersaingan dengan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini," jelasnya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment