Powered by Blogger.

Wednesday, October 05, 2011

35,820 calon duduki PMR di Kelantan

  NR       Wednesday, October 05, 2011

KOTA BHARU 4 Okt. - Seramai 35,820 calon di negeri ini menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula hari ini hingga 11 Oktober ini.


Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang memberitahu, daripada jumlah tersebut seramai 29,006 orang adalah calon sekolah kerajaan, 585 calon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), 5,702 dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan 116 lagi calon persendirian serta sekolah swasta.

"Seramai 411 lagi calon terdiri daripada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hussain berkata, daripada jumlah tersebut seramai enam calon menduduki peperiksaan tersebut di hospital iaitu seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), dua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan tiga orang di Hospital Machang.

Beliau yang turut meninjau beberapa sekolah sekitar bandar ini berkata, secara keseluruhan, peperiksaan tersebut berjalan lancar dengan tiada sebarang masalah dilaporkan.

"Pihak sekolah telah diberi arahan bagi mengambil segala langkah perlu sekiranya berlaku keadaan di luar jangka bagi memastikan peperiksaan tetap berjalan dengan lancar," katanya.

Hussain turut menasihatkan semua calon supaya menjaga keselamatan dan kesihatan diri bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan.

Mengenai laporan kejadian histeria di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, Tumpat semalam, beliau memberitahu, pihaknya masih belum menerima laporan daripada sekolah terbabit dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengenai kejadian tersebut.

Dalam kejadian semalam, seramai 20 murid sekolah terbabit diserang histeria setelah mereka dikatakan melihat lembaga hitam di dewan peperiksaan sekolah berkenaan sehingga mencetuskan keadaan kecoh.

Mengikut laporan, kejadian berlaku selepas waktu rehat iaitu kira-kira pukul 10.30 pagi setelah murid-murid terbabit yang rata-rata terdiri daripada pelajar tahun empat dan lima mendakwa melihat lembaga hitam yang menakutkan.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 35,820 calon duduki PMR di Kelantan

Previous
« Prev Post

No comments: