Powered by Blogger.

Wednesday, October 05, 2011

Kepayahan OKU kehilangan Bapa, Ibu Terlantar hidap Barah Rahim gengam Sarjana Konvo UMT

  NR       Wednesday, October 05, 2011
KUALA TERENGGANU 4 Okt. - Kehidupan yang ditempuh oleh Ten Wei Peng, 25, tidak mudah, namun kepayahan itulah pendorong baginya untuk berjaya dalam pelajaran yang bakal membuka masa depan yang lebih luas baginya dan keluarga.


Berasal dari Sungai Siput, Perak, graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu kehilangan bapa ketika di tingkatan lima dan setahun kemudian ibunya terlantar menghidap barah rahim dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Dilahirkan dengan tangan kanan kudung menyebabkan anak sulung daripada tiga beradik itu melalui kesukaran menjalani kehidupan remaja dengan label orang kurang upaya (OKU).

Namun, dia berusaha menukarkannya menjadi satu kelebihan dan tidak lagi mempedulikan pandangan orang mengenai kecacatan itu ketika mula menjejakkan kaki sebagai penuntut UMT empat tahun lalu.

Kegigihannya berbaloi apabila Wei Peng memperoleh kepujian dalam Sarjana Sains Matematik pada konvokesyen UMT baru-baru ini.

Dia merupakan antara 1,736 graduan UMT yang menerima ijazah, diploma serta sijil pada majlis konvokesyen universiti itu yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor UMT.

Bagi Wei Peng, ibunya, Siah Boon Eng, 50, banyak berkorban demi masa depan anak-anak setelah kehilangan suami sebagai tempat bergantung dan dia mengimpikan kejayaan lebih besar bagi membals jasa ibunya.

"Sejak bapa mula dikesan menghidap barah, ibu terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang di Sungai Siput sehingga ke hari ini. Mujurlah kami sekeluarga ditanggung insurans nyawa mendiang bapa selain mendapat bantuan sanak saudara.

"Saya memang menyimpan cita-cita untuk ke menara gading untuk membantu keluarga apatah lagi kematian ayah sewaktu saya di tingkatan lima dan sejak itu, tanggungjawab ayah dipikul oleh ibu," ujarnya ketika ditemui di sini.
Menceritakan pengalamannya semasa menuntut di UMT, dia pada mulanya agak janggal apabila sering dijadikan tumpuan mata orang di sekeliling.

Namun, ia tidak pernah merencatkan semangatnya untuk 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan warga kampus yang lain sehingga berjaya bergelar graduan.
"Saya sentiasa tekun membuat latihan dan mengulang kaji pelajaran sama ada berseorangan atau pun berkumpulan," jelasnya.

Tambah Wei Peng, dia ada menerima tawaran menjadi tutor dan pensyarah di universiti tempatan selain merancang menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kepayahan OKU kehilangan Bapa, Ibu Terlantar hidap Barah Rahim gengam Sarjana Konvo UMT

Previous
« Prev Post

No comments: