Powered by Blogger.

Monday, October 17, 2011

689 Pelajar Sertai Program Kecemerlangan SPM & STPM di SJK Cina Paloh

  NR       Monday, October 17, 2011

Hishammuddin Tun Hussein dan isteri, Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah melayan pelajar dan menandatangani autograf pada Program Kecemerlangan SPM dan STPM di Paloh, Kluang, kelmarin.


KLUANG 16 Okt. - Seramai 689 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menyertai Program Kecemerlangan SPM dan STPM di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Paloh semalam.

Peserta tersebut merupakan pelajar daripada lima sekolah di Parlimen Sembrong iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, SMK Kahang, SMK Taman Sri Lambak (T6), SMK Felda Ulu Belitong dan SMK Felda Kahang Timur.

Program yang bertujuan menyuntik motivasi dan memberi keyakinan serta semangat kepada pelajar itu anjuran UMNO Bahagian Sembrong dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Kluang.

Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kluang, Maslan Kodari berkata, kawasan Parlimen Sembrong mempunyai 30 buah sekolah iaitu 18 buah sekolah kebangsaan, lapan SJK Cina dan empat SJK Tamil.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyananthan dan ADUN Paloh, Hoo Seong Chang.

Hishammuddin dalam ucapannya berharap supaya semua pelajar di kawasan Parlimen berkenaan berusaha bersungguh-sungguh mengejar kejayaan demi masa depan keluarga dan negara.

Menurutnya, golongan ibu bapa memainkan peranan penting sebagai pemimpin untuk memberi bimbingan kepada anak-anak mencapai cita-cita serta impian mereka.

Beliau turut menasihati pelajar supaya tidak menyalahgunakan kemudahan yang ada seperti komputer bagi mengelak terpesong daripada sasaran dan tujuan mereka belajar.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan komputer riba dan pencetak kepada 25 buah sekolah serta menyampaikan cenderamata kepada pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 689 Pelajar Sertai Program Kecemerlangan SPM & STPM di SJK Cina Paloh

Previous
« Prev Post

No comments: