
KUCHING: Dr Jerip Susil semalam menjelaskan falsafah beliau untuk memajukan rakyat di konstituensinya ialah memberi penekanan dalam pendidikan, selain menumpukan pada pembangunan infrastruktur dan pembangunan modal insan.
Menurut Menteri Muda Kesihatan Awam yang juga ADUN Bengoh itu, hanya melalui pendidikan akan dapat menentukan masa depan anak-anak Bidayuh dan menjadi insan berguna untuk negara.
Sehubungan itu, beliau akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap apa jua program kemajuan sekolah di sekitar konstituensinya di samping memantau prestasi pelajar di setiap sekolah.
“Sebab itu, mana-mana sekolah yang mencapai prestasi peperiksaan dengan baik akan saya berikan insentif, begitu juga dengan pelajar yang cemerlang.
“Selain itu, misalnya DBNA mahu menganjurkan bengkel peperiksaan, saya juga akan menyokongnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam PIBG SK St David Bumbok di Dewan Masyarakat Batu 10, Kota Padawan dekat sini, malam kelmarin.
Dalam pada itu, Dr Jerip juga menegaskan bahawa beliau amat prihatin terhadap keadaan persekitaran sekolah-sekolah di konstituensinya terutama melibatkan bangunan sekolah.
“Kalau ada sekolah yang uzur dan tidak memiliki kemudahan sepatutnya, saya amat kesal,” katanya sambil menambah akan terus memastikan sekolah-sekolah di konstituensinya dibangunkan dengan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengabaikan pendidikan anak-anak.
“Sebagai ibu bapa, kita harus merangsang anak-anak supaya berjaya dalam pelajaran kerana ini adalah pelaburan yang amat penting,” jelasnya.
Sempena majlis tersebut, Dr Jerip telah mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada SK St David Bumbok.
Untuk kutipan ‘Suara Emas’ YB Dr Jerip, SK St David Bumbok telah berjaya mengumpul sebanyak RM5,880.
Hadir sama ialah Yang Dipertua PIBG Norida Sipek.
- UB
No comments:
Post a Comment