Powered by Blogger.

Tuesday, October 25, 2011

Konvo UiTM Ke-75: Ibu & Anak Terima PhD, Ijazah Serentak

  NR       Tuesday, October 25, 2011

Dr. Hayati Md. Salleh dan Auzan Sulaiman diraikan ahli keluarga selepas majlis Konvokesyen Ke-75 UiTM di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 23 Okt. – Saling membantu dan memberi sokongan merupakan rahsia kejayaan Dr. Hayati Mohd. Salleh, 57, dan anak lelakinya, Auzan Sulaiman, 25, menamatkan pengajian dan menggenggam ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-75 di sini.

Hayati memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains pentadbiran pada sidang pertama konvokesyen Khamis lalu, sementara Auzan pula memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Bina hari ini.

Majlis hari ini juga menjadi lebih bermakna buat Hayati sebagai ibu apabila Auzan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor setelah mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.64.

Hayati berkata, usaha dan kesabarannya selama enam tahun berbaloi apabila dirinya kini bergelar doktor falsafah walaupun telah menjangkau usia emas.

Nenek kepada dua orang cucu yang kini merupakan pensyarah sambilan di tempat kerja lamanya di Maktab Koperasi Malaysia berkata, kejayaannya tidak akan tercapai jika tidak diiringi sokongan padu suaminya, Sulaiman Sidek, 61, dan empat anaknya terutama Auzan.

‘‘Saya dan Auzan memang banyak bekerjasama dalam pelajaran dan kami saling bertukar fikiran.
‘‘Kejayaan saya ini juga diharap menjadi pendorong dan contoh kepada anak-anak dan ahli keluarga lainnya dan sebagai ibu saya juga bangga dengan pencapaian Auzan,” kata Hayati yang ditemui bersama keluarganya di Dewan Agong Tuanku Canselor di sini hari ini.

Hayati kini sedang melakukan penyelidikan mengenai keperluan setiausaha dalam koperasi berdaftar.
Sementara itu, Auzan yang bekerja sebagai arkitek di sebuah firma di Bukit Kemuning di sini memberitahu, ibunya adalah mentor dan idola yang banyak membantunya menjadi pelajar cemerlang.

Anak ketiga dalam keluarga ini juga mempunyai cara tersendiri untuk mengulang kaji pelajaran agar tidak membosankan iaitu menggunakan gajet yang dimilikinya.

‘‘Saya akan menggunakan gajet contohnya telefon pintar di mana saya dapat mengulang kaji pelajaran di mana sahaja termasuk sebelum melelapkan mata,” katanya.

Auzan yang amat meminati bidang muzik kini sedang mengejar impian untuk bergelar arkitek berdaftar sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

- UB
logoblog

Thanks for reading Konvo UiTM Ke-75: Ibu & Anak Terima PhD, Ijazah Serentak

Previous
« Prev Post

No comments: