KOTA SAMARAHAN: Walaupun mengalami masalah rabun mata yang kronik, ia tidak mematahkan semangat seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menggenggam segulung ijazah.
Rebecca Dawi, 24, dari Kampung Rembus Kota Samarahan mengalami masalah rabun sejak berusia tiga tahun merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradik dengan abangnya, Kukun Dawi, 25, turut mengalami nasib yang sama dengannya.
Masalah rabunnya semakin kronik ketika berusia 15 tahun semasa belajar di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang.
Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang guru suatu hari nanti yang menjadi pemangkin kepada dirinya untuk terus belajar sehingga ke tahap ijazah sarjana muda di UNIMAS.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada rakan-rakan yang banyak membantu dalam mengiringi saya ke kelas.
“Malah, mereka (rakan) meluangkan masa demi saya serta berkongsi ilmu, belajar bersama-sama dan membantu saya dalam membuat ulang kaji pelajaran,” katanya.
Namum, Rebecca enggan mendedahkan nama rakan-rakannya kerana tidak mahu sesiapa tersinggung jika nama mereka tidak disebut.
Rebecca merupakan pelajar Program Pengurusan Seni Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif(FSGK) di UNIMAS.
Sementara itu, ibunya Rinya Dorong, 57, berharap anaknya itu akan mendapat pekerjaan.
“Saya amat gembira atas pencapaian anak saya tetapi saya tidak tahu apakah nasibnya selepas ini ekoran keadaan yang sebegitu, justeru saya berharap ada pihak memberi peluang kepada anak saya membantu untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan,” katanya dalam nada sebak kerana gembira dengan kejayaan anaknya itu.
Bapanya, Dawi Maban, 70, bekas pengawal keselamatan sektor swasta yang turut hadir pada majlis konvokesyen anaknya kini tidak lagi bekerja kerana faktor usia dan kesihatan.
- UB
No comments:
Post a Comment