Powered by Blogger.

Wednesday, October 19, 2011

Masterskill peruntuk RM10 juta sedia kemudahan IT pelajar

  NR       Wednesday, October 19, 2011

SULTAN Muhammad V menyampaikan komputer riba kepada pelajar Masterskill Kampus Metro Kota Bharu di Lembah Sireh Kota Bharu, baru-baru ini sambil disaksikan Edmund Santhara.


KOTA BHARU 18 Okt. - Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang prihatin, Kolej Masterskill amat menitikberatkan soal kebajikan dan kemudahan pembelajaran pelajarnya.


Bagaimanapun, kecemerlangan pelajar tidak hanya bergantung kepada kemudahan pembelajaran lengkap yang disediakan di kampus, tetapi juga ia perlu disertai dengan daya usaha pelajar itu sendiri.

Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajarnya, Kolej Masterskill telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membeli komputer riba yang diberikan kepada semua pelajar berdaftar di kolej berkenaan sebagai kemudahan tambahan.

Sebanyak 180 buah komputer riba telah diagihkan kepada pelajar Masterskill Kampus Metro, Kota Bharu di Lembah Sireh sempena pelancaran kampus berkenaan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V kelmarin.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Masterskill Education Group Berhad (MEGB), Datuk Seri Tunku Kamel Tunku Rijaludin dan Canselor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill (MUCH), Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah.

Kampus berharga RM50 juta itu mampu menempatkan kira-kira 5,000 pelajar menyediakan kemudahan pelajaran yang kondusif dan dilengkapi perpustakaan dengan bahan-bahan penerbitan elektronik berkaitan perubatan, kejururawatan dan sains kesihatan terkini.

Menurut Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MEGB, Datuk Seri Edmund Santhara, pemberian komputer riba itu bertujuan meningkatkan lagi pengetahuan pelajar dalam bidang yang mereka ceburi seiring dengan perkembangan dunia teknologi maklumat (IT).

"Sememangnya, Masterskill menggalakkan para pelajar untuk menuntut dan mengulangkaji pelajaran pada setiap peluang yang diperolehi, tidak kira di mana juga mereka berada.

"Dengan teknologi internet dan jalur lebar, seseorang itu boleh mendapat apa jua maklumat berkaitan topik pembelajaran, bukan sahaja secara terperinci, malah juga maklumat terbaharu," katanya berucap pada majlis tersebut.

Edmund berkata, dalam dunia perubatan dan sains kesihatan, maklumat terbaharu mengenai penyakit, teknologi baharu, diagnosis dan rawatan sentiasa berubah.

Beliau berkata, bidang perubatan kini lebih banyak bergantung kepada kemudahan teknologi baharu dan pengamal bidang kesihatan, tidak harus leka terhadap perkembangan teknologi tersebut kerana ia turut melibatkan pesakit.
"Kami di Masterskill sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan-perkembangan baharu ini. Justeru, pihak MEGB tidak pernah cuai melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya agar para pelajar dapat memperoleh prestasi yang cemerlang," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Masterskill peruntuk RM10 juta sedia kemudahan IT pelajar

Previous
« Prev Post

No comments: