Berusia 22 tahun, Low, pelajar tahun akhir Kajian Khasiat Pemakanan di Universiti Flinders ini memenangi hadiah utama bagi rekod akademik dan kerja komuniti terkemuka dalam mengembangkan hubungan di antara Australia dengan Malaysia.
Ketika mengucapkan tahniah di atas kejayaan Low memenangi hadiah berkenaan, Timbalan Naib Canselor Flanders (Antarabangsa dan Komuniti) Prof Dean Forbes berkata pelajar antarabangsa menyumbangkan pengertian, pengalaman dan pelbagai budaya yang memperkayakan lagi pendidikan dan pandangan sosial semua pelajar lain.
Menurut laman sesawang Universiti Flinders, www.flinders.edu.au, Low pernah bertugas dengan Perkhidmatan Udara Diraja di kawasan pedalaman Australia untuk mendapatkan ijazah, bekerja di Hospital Whyalla selama tujuh minggu menyusun garis panduan untuk rawatan kurang zat makanan bagi kakitangan hospital.
Bekas pelajar SMK Tinggi Kuching ini adalah juga setiausaha Persatuan Pelajar Malaysia di Australia Selatan.
Dia adalah anak perempuan kepada seorang Juruukur Bahan, Low Kong Seng dengan isterinya Wee Kheng Kee, seorang Jurulukis Plan dari Kuching.
Jumaat lepas Low menerima hadiah berkenaan mengandungi tiket penerbangan pergi-balik ke Malaysia disampaikan oleh Gabenor Australia Selatan, Laksamana Muda Kevin Scarce, di hadapan 600 pelajar dari 130 buah negara di satu majlis perpisahan Gabenor untuk pelajar antarabangsa di Adelaide.
Sekarang terdapat 28,000 orang pelajar antarabangsa menuntut di Adelaide, menjadikan bandaraya tersebut lebih berbagai rupa dan dinamik.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment