Suani Sura (dua dari kanan) bersama Mimie D. Selvakumar (kanan) dan Geoffrey Harvey Tanakinja melihat perbincangan pelajar bersama pengusaha IKS pada program usaha sama antara UMS-KAL dan pengusaha IKS di Labuan, baru-baru ini.
LABUAN 4 Okt. - Sebuah program usaha sama di antara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Labuan telah dilaksanakan untuk membangun dan memajukan komuniti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Tadika Perpaduan di Labuan.
Pengarah UMS-KAL, Prof. Dr. Shariff Abdul Kadir Omang berkata, program usahasama itu akan dapat membantu mahasiswa mempraktikkan apa yang dipelajari di bilik kuliah dan mengaplikasikan ilmu tersebut bagi membantu masyarakat di wilayah itu.
"Langkah itu seiring dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi agar pelajar universiti menjadi ejen perubahan dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara secara amnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian usaha UMS-KAL dan JPNIN di Dewan Utama UMS-KAL, baru-baru ini. Teks ucapan beliau diwakili Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL), Suani Sura.
Hadir sama, Pengarah JPNIN Labuan, Mimie D. Selvakumar; Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan, Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Dr. Stephen Liason Sondoh Jr .
Sementara itu, Mimie berkata, projek-projek yang dilaksanakan dalam program berkenaan adalah julung kali diadakan membabitkan pelajar, pengusaha IKS dan guru tadika perpaduan yang bernaung dengan JPNIN Labuan.
Katanya, lima ahli akademik telah dilantik selama setahun untuk menjadi perunding cara bagi membantu JPNIN melaksanakan program terhadap pengusaha IKS tempatan.
- Utusan
No comments:
Post a Comment