Powered by Blogger.

Wednesday, October 05, 2011

Unimas Tumpu Kajian Genetik Haiwan, Tumbuhan & Mikrobiologi

  NR       Wednesday, October 05, 2011

KUCHING 4 Okt. - Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan memberi tumpuan dalam bidang kajian genetik dalam usaha menjadikan pusat pengajian tinggi itu sebagai sebuah universiti penyelidikan menjelang 2015.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsanya, Prof. Dr. Fatimah Abang berkata, bidang genetik menjadi pilihan utama Unimas memandangkan ia mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan.

Buat masa ini katanya, antara penyelidikan yang sedang giat dijalankan oleh para penyelidik di Unimas termasuklah kajian genetik haiwan, tumbuhan dan mikrobiologi.

"Kita juga terlibat dengan kajian genetik di peringkat molekular termasuk mengkaji sel-sel penyakit kanser serta penyakit lain.

"Di samping itu, kita juga cuba memanipulasi hasil kajian genetik untuk meningkatkan pengeluaran dalam bidang pertanian tempatan terutamanya sagu dan lada hitam," kata beliau pada Kongres Genetik Malaysia Kesembilan di sini baru-baru ini.

Pada kongres itu, seramai 95 pelajar pascasiswazah Unimas membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam bidang genetik kepada saintis dan pakar genetik di negara ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, Unimas memerlukan sokongan pihak swasta untuk merealisasikan hasrat pihaknya menerokai bidang genetik di samping mengkomersialkan produk yang dihasilkan.

"Saya percaya kerjasama pihak universiti dan swasta akan membolehkan kita memperhebatkan lagi kerja-kerja penyelidikan sebelum hasilnya boleh dikomersialkan dan dimanfaatkan bersama," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Unimas Tumpu Kajian Genetik Haiwan, Tumbuhan & Mikrobiologi

Previous
« Prev Post

No comments: