SEBAHAGIAN 50 pelajar dari Persatuan Pelajar Awam, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) bergambar bersama keluarga angkat masing-masing selepas majlis perasmian Program Eksplorasi Perdana 2011 di Kampung Pulai, Serkam, baru-baru ini.
JASIN 4 Okt - Seramai 50 pelajar dari Persatuan Pelajar Awam, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) berkampung di Kampung Pulai, Serkam, di sini bagi menjayakan Program Eksplorasi Perdana 2011 baru-baru ini.
Pengarah program, Mohd. Qayyum Ashraf Mohd. Shukor berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta memahami kehidupan masyarakat dan aktiviti harian penduduk kampung.
Menurutnya, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah diatur kepada pelajar UTHM termasuk menabur bakti menerusi program khidmat komuniti dalam bentuk sosial, akademik, kerjaya, gotong-royong dan tuisyen bagi pelajar sekolah menengah.
''Sepanjang tiga hari program ini diadakan ia mendapat kerjasama sama ada daripada peserta tetapi juga seluruh masyarakat Kampung Pulai.
''Peserta mendapat pengalaman yang amat berharga sepanjang tempoh itu apabila tinggal bersama keluarga angkat mereka dengan memahami aktiviti harian penduduk kampung," katanya di sini baru-baru ini.
Program Eksplorasi Perdana 2011 itu mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pulai di sini.
Mohd. Qayyum Ashraf berkata, menerusi aktiviti berkenaan, semua peserta menginap di rumah keluarga angkat selain diperkenalkan dengan budaya serta adat resam masyarakat Kampung Pulai.
"Kita juga mahu peserta memahami cara hidup masyarakat kampung supaya mereka dapat menghayati budaya dan kehidupan golongan itu dengan lebih jelas.
"Dalam masa sama, Program Eksplorasi Perdana 2011 ini juga untuk memperkenalkan UTHM kepada masyarakat luar supaya dapat menarik pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan," katanya.
Turut hadir, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTHM, Dr. Zawawi Daud dan ahli JKKK Pulai, Mahmood Ahmad.
Sepanjang tiga hari berada di kampung terbabit, katanya, semua peserta menyertai beberapa aktiviti seperti kenduri kampung, ceramah agama, lawatan ke industri kampung seperti dodol, kompang dan makanan ringan.
- Utusan
No comments:
Post a Comment