MIRI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau Miri berjaya merangkul pelbagai anugerah dari segi aspek kualiti dan kuantiti pada peperiksaan awam tahun 2010.
Pengetuanya, Ang Siew Jin berkata, sekolah tersebut meraih dua anugerah daripada Pejabat Pelajaran Daerah Miri selepas peratus kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) meningkat daripada 67.89 peratus kepada 75.33 peratus.
“Atas kejayaan itu, sekolah ini telah menerima Sijil Penghargaan Kecemerlangan Peningkatan 4 berturut-turut dan Sijil Penghargaan Kecemerlangan menjadikan sekolah mendapat kedudukan ke-42 daripada 170 buah sekolah di Sarawak,” katanya pada Majlis Anugerah Cemerlang SMK Merbau, semalam.
Ang berkata, pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, SMK Merbau menerima anugerah Sijil Usaha Gigih daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) kerana menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
“Kita telah mencatat sejarah apabila lima mata pelajaran mencapai kelulusan 100 peratus berbanding tiga mata pelajaran sahaja pada tahun 2009.
“Ia meletakkan sekolah ini di ranking ke-81 daripada 173 sekolah di Sarawak mengikut Gred Purata (GPS),” katanya.
Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, katanya, sekolah itu menerima anugerah Sijil Kecemerlangan Akademik daripada JPNS bagi pencapaian Prinsipal A dalam tiga mata pelajaran mengatasi Peratusan Pencapaian Kebangsaan.
“Lebih menggembirakan, kira-kira 26 pelajar kita berjaya melanjutkan pengajian di universiti-universiti tempatan dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak,” katanya.
Tambahnya, SMK Merbau turut cemerlang dalam bidang kokurikulum apabila meraih tiga pingat emas, lima perak dan empat gangsa pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Menengah Miri.
Sementara itu, pada majlis itu, seramai 227 orang pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum menerima sijil penghargaan masing-masing yang melibatkan 49 anugerah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Kaunselor Lawrence Kong yang mewakili Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.
- UB
- UB
No comments:
Post a Comment