Powered by Blogger.

Friday, October 14, 2011

SMK Pelabuhan Kuantan Juara Pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia 2011 Peringkat Negeri Pahang

  NR       Friday, October 14, 2011

Guru-guru SMK Pelabuhan Kuantan turut membantu membersihkan tandas sejajar dengan matlamat mewujudkan Tandas Bersih 1 Malaysia.


KUANTAN 12 Okt. - Komitmen padu warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan Kuantan membudayakan amalan tandas bersih bertaraf lima bintang melayakkan sekolah itu menjuarai pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia 2011 peringkat negeri Pahang bagi kategori sekolah menengah.

Pengetuanya, Noraini Md. Salleh berkata, dengan kemenangan tersebut, SMK Pelabuhan Kuantan akan mewakili negeri ini pada peringkat kebangsaan dalam pertandingan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.
Katanya, untuk itu para guru diminta terus menerapkan amalan penjagaan kebersihan tandas di kalangan pelajar yang bukan hanya bertujuan menjuarai pertandingan itu sebaliknya bagi meningkatkan kesihatan warga sekolah.

"Usaha membudayakan amalan tandas bersih tidak seharusnya menjadi tanggungjawab segelintir pihak, sebaliknya semua pengguna terbabit sama.

"Hasilnya kita dapat mewujudkan gaya hidup sihat di kalangan warga sekolah di samping menjuarai pertandingan ini selepas memenangi hadiah sagu hati pada tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil usaha warga sekolah yang sentiasa bekerjasama memastikan semua tandas guru, pelajar lelaki dan perempuan dijaga kebersihannya.

Tambah beliau, pihak sekolah juga memperluaskan kempen menjaga kebersihan diri terhadap keluarga pelajar dan masyarakat setempat.

"Pihak sekolah berterima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menganjurkan pertandingan 'Anugerah Tandas Bersih-1Malaysia' kerana ia memberi dorongan kepada usaha meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan masyarakat," katanya.

Tambahnya, dalam pertandingan itu sebanyak tujuh kategori dipertandingkan selain Sekolah Menengah iaitu Tandas Awam Berasingan Milik PBT, Tandas Restoran, Tandas Awam Stesen Minyak, Tandas Pusat Beli-Belah, Tandas Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta dan Tandas Sekolah Rendah.

Katanya, pertandingan itu amat baik kerana ia memberi pengiktirafan kepada pihak sekolah yang berusaha keras mewujudkan model tandas bersih sebagai contoh kepada pihak lain.

Beliau berharap dengan usaha berterusan oleh semua pihak, ia dapat menerapkan kesedaran dalam kalangan pelajar betapa pentingnya menjaga kebersihan tandas awam.

"Dengan wujudnya kesedaran ini, masyarakat akan dapat menukar persepsi mereka terhadap kebersihan tandas awam," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SMK Pelabuhan Kuantan Juara Pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia 2011 Peringkat Negeri Pahang

Previous
« Prev Post

No comments: