Powered by Blogger.

Tuesday, February 23, 2016

SMK Song Harumkan Nama Sarawak Juara Pesta Pantun di UKM Sekali Lagi

  NR       Tuesday, February 23, 2016

SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song dari bahagian Kapit muncul juara Pesta Pantun Integrasi Budaya anjuran Kolej Ibu Zain, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung dari 10 hingga 14 Februari lepas.
Kemenangan itu merupakan kedua berturut-turut diperoleh pasukan pemantun bukan Melayu dari sekolah berkenaan selepas kali pertama menjuarainya tahun lepas.
Menggunakan pakaian tradisional wanita Iban, Marlia Kilat, Angeline Cynthia Antai dan Emily Stephen Tanang yang dibimbing oleh guru kelahiran Kedah Azmi Md Said menewaskan 15 pasukan dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sebuah piala pusingan dan sijil.
Naib johan dan tempat ketiga jatuh kepada SMK Tun Habab dan SMK Tasek Utara, kedua-duanya dari Johor.
Emily mengharumkan lagi nama SMK Song apabila muncul pemenang Anugerah Pemantun Terbaik Final dan membawa pulang sebuah piala, hamper, wang tunai RM150, sijil dan baucar RM100 Butik Permaisuri Signature.
Marlia pula muncul pemenang Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan dan membawa pulang sebuah piala, hamper, buku dan sijil.
Azmi melahirkan rasa bangga dan puas hati berkata, kemenangan anak didiknya itu sangat bermakna buat beliau yang telah lima tahun bertugas di sekolah itu.
“SMK Song satu-satunya sekolah yang menghantar peserta bukan Melayu berbanding 15 sekolah lain yang mempertaruhkan peserta Melayu. “Kemenangan ini melambangkan pantun yang sinonim dengan budaya Melayu telah diterima dalam budaya kaum lain terutama kaum Iban,” katanya.

Utusan Borneo 18/02/2016
logoblog

Thanks for reading SMK Song Harumkan Nama Sarawak Juara Pesta Pantun di UKM Sekali Lagi

Previous
« Prev Post

No comments: