PROF. Dr. Karl Stoffel (dua kanan) dan Prof. Dr. Helmuth Gesch (kiri) mendengar penjelasan pensyarah UTeM ketika melawat Kampus UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
MELAKA 4 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan merangka kerjasama strategik dalam program kejuruteraan dengan Universiti Applied Honchscule Landshut (HLU) dari Jerman.
Kerjasama itu bakal dijalinkan selepas UTeM menerima kunjungan delegasi daripada HLU diketuai oleh Presidennya, Prof. Dr. Karl Stoffel dan Naib Presidennya, Prof. Dr. Helmuth Gesch.
Pengarah Pejabat Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Nanna Suryana Herman berkata, HLU berminat menjalinkan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mekanikal dan pembuatan.
Menurutnya, antara objektif utama lawatan tersebut adalah untuk merangka kerjasama yang bersesuaian dalam Program Sarjana Kejuruteraan produk elektrik dan elektronik.
‘‘HLU berminat menjalin kerjasama dengan UTeM setelah diperkenalkan oleh Duta Jerman ke negara ini, Dr. Guenter Grubber.
‘‘Grubber adalah antara yang terlibat dalam beberapa program kerjasama strategik sebelum ini antara UTeM dengan beberapa industri dari Jerman,” katanya di sini, baru-baru ini.
HLU adalah salah sebuah universiti di Jerman yang memberi tumpuan dalam bidang Sains Gunaan berteraskan kejuruteraan selain bidang ICT, mekanikal dan pembuatan.
Sementara itu, Dr. Karl Stoffel berkata, HLU tertarik dengan kemudahan fasiliti yang terdapat di UTeM yang disifatkan lengkap dengan makmal-makmal berteknologi tinggi sesuai dengan keperluan semasa industri.
‘‘Sememangnya elemen-elemen ini amat bersesuaian selaku universiti teknikal yang berprestij yang menyamai konsep universiti teknikal yang ada di Jerman,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merasakan hubungan strategik dengan UTeM perlu dijalin secara kerjasama pada masa akan datang bagi memanfaatkan konsep universiti teknikal seperti antara kedua-dua universiti.
- Utusan
No comments:
Post a Comment