Haji Jamail (dua kiri) menyampaikan anugerah tempat pertama Kantin Sekolah Menengah Bersih kepada wakil dari kantin SMK Tebobon.
KOTA KINABALU: Sebanyak 17 episod
keracunan makanan dilaporkan di sekolah-sekolah di negeri ini setakat Oktober
lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Yusof Ibrahim.
Menurut beliau, jumlah terbabit menunjukkan
penurunan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu
sebanyak 22 episod.
Kata beliau, keracunan makanan di sekolah
berlaku disebabkan oleh pengendalian makanan yang tidak bersih atau makanan
tidak disimpan dengan baik sehingga makanan mudah basi dan menyebabkan
keracunan makanan.
“Jabatan Kesihatan Negeri memandang serius
terhadap kes ini kerana mengambilkira kesannya terhadap kesihatan murid yang
akan mempengaruhi prestasi pembelajaran mereka.
“Kerana itu, tindakan tegas akan diambil
terhadap pengendali makanan di kantin sekolah dan dapur asrama yang terlibat,”
katanya di Majlis Penganugerahan Pertandingan Kantin Sekolah Menengah dan Dewan
Makan Sekolah Menengah Berasrama, di sini, kelmarin.
Ucapan dibacakan oleh Timbalan Pengarah
Kesihatan Negeri (Bahagian Kesihatan Awam), Dr Haji Jamail Muhi.
Tambah Yusof, sejajar matlamat itu, Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan mengambil inisiatif memperkenalkan Program Pemeriksaan
Sendiri (Kendiri) yang dilaksanakan secara berterusan dengan memberi tumpuan
kepada faktor risiko kemungkinan pencemaran berlaku.
Yusof berkata program Kendiri bersifat
proaktif ini membolehkan pemantauan berterusan terhadap faktor risiko dilaksanakan
dan penambahbaikan pula dapat dilakukan serta merta dan in-situ.
Sementara itu, katanya, penganjuran anugerah
kantin dan dewan makan asrama bersih ini dapat mengukur pemahaman mengenai
amalan Kendiri yang dijalankan dan tingkahlaku pengendali makanan terhadap
aspek keselamatan makanan.
Kata beliau, program ini adalah kesinambungan
kepada program melibatkan sekolah rendah yang diadakan pada tahun lalu.
“Program ini diharapkan dapat memberi
motivasi kepada pengendali makanan selain menyokong dan memberi pengiktirafan
kepada usaha yang telah diambil oleh pengurusan sekolah untuk mengekalkan
Amalan-amalan Kebersihan Yang Baik dalam penyediaan makanan kepada
pelajar,”katanya.
Tambah beliau, kriteria yang diambilkira
untuk penilaian kantin dan dewan makan bersih adalah pelaksanakan program
Kendiri oleh kantin dan dewan makan serta markah pemeriksaan tidak kurang dari
85 peratus melalui Borang KKM 3P2.
Selain itu, turut diambil kira adalah
pematuhan terhadap Panduan Pengurusan Kantin Sekolah dan pematuhan Dokumen
Perjanjian Kontrak Bekalan Makanan Bermasak (BMB) dan Buku Log.
Pemenang tempat pertama kantin bersih, SMK
Tebobon,Kota Kinabalu dan SMK Matunggong, Kudat bagi dewan makan asrama bersih
akan bertanding di peringkat kebangsaan.
-
UB

No comments:
Post a Comment