Powered by Blogger.

Thursday, November 24, 2011

2,000 Pengunjung Sertai Program Kem Kesihatan UPM

  NR       Thursday, November 24, 2011


SEORANG penuntut UPM memberi penerangan kesihatan kepada kanak-kanak pada Program Kem Kesihatan dan Hari Bersama Pelanggan dan Pelajar UPM di Rumah Pangsa Seri Alam, Pasir Gudang dekat Johor Bahru, baru-baru ini.



JOHOR BAHRU 22 Nov. - Hampir 2,000 pengunjung menghadiri Program Kem Kesihatan dan Hari Bersama Pelanggan dan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di Rumah Pangsa Seri Alam, Pasir Gudang dekat sini baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, program dua hari itu bertujuan memberi kesedaran mengenai masalah kesihatan dan penjagaannya selain untuk mempromosikan UPM.

"Kita mahu meningkatkan kesedaran penduduk setempat yang merupakan pekerja kilang, pekerja sektor awam dan swasta serta peniaga mengenai gaya hidup sihat.

"Pemeriksaan kesihatan percuma untuk penyakit kronik seperti kencing manis, pengesanan awal kanser, tekanan darah tinggi, masalah berat badan dan lain-lain diberikan kepada mereka," katanya ketika berucap pada program tersebut baru-baru ini.

Program itu yang merupakan kali ketiga pada tahun ini dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Ia dijayakan oleh 30 pakar klinikal daripada bidang obstetrik dan ginekologi, radiologi, oftalmologi, pediatrik, perubatan keluarga, patologi, kesihatan komuniti, mikrobiologi dan parasitologi dan psikiatri.

Seramai 40 penuntu perubatan dan 30 staf sokongan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) universiti itu turut terlibat dengan bantuan kakitangan Klinik Kesihatan Masai dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.
Mohd. Fauzi berkata, sasaran utama program tersebut ialah golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar dengan memberi khidmat pakar percuma kepada mereka.

Sementara itu penuntut Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Ahmad Sahril Hussin, 23, berkata, pihaknya memberi panduan untuk mencegah dan mengatasi penyakit-penyakit kronik supaya kualiti hidup dapat ditingkatkan.

Seorang lagi pelajar fakulti sama, Nooradilla Anuar, 22, berkata, pendekatan UPM itu memberi pengalaman sebenar kepada mereka untuk mempraktikkan perkara yang dipelajari.

"Secara tidak langsung juga kami dapat memberi pengetahuan kepada orang ramai," katanya yang berada di tahun keempat pengajiannya dan berasal dari Bayan Baru, Pulau Pinang.

- Utusan

logoblog

Thanks for reading 2,000 Pengunjung Sertai Program Kem Kesihatan UPM

Previous
« Prev Post

No comments: