Seramai 104,083 peminjam disaman, gagal jelas pinjaman
TEMERLOH: Seramai 69,573 pelajar yang meminjam dengan Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diperintah agar membayar balik
pinjaman mereka oleh mahkamah sehingga Oktober lepas.
Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamad Said berkata, jumlah itu
antara 104,083 peminjam yang disaman kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.
“Tindakan mahkamah ini terpaksa dilakukan setelah pelajar terbabit
gagal membayar balik pinjaman walaupun selepas dihubungi dan diberikan
peringatan berkali-kali oleh PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas
menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
Ladang Bee Yong, Kerdau semalam.
Ismail, yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau, berkata, sehingga
September lepas, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus
berbanding RM6.2 bilion, jumlah yang sepatutnya diperoleh.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 8,143 pelajar yang
disenarai hitam Jabatan Imigresen membayar balik pinjaman mereka membabitkan
kutipan kira-kira RM146 juta.
Katanya, jumlah itu masih rendah berbanding 132,801 pelajar yang
disenarai hitam dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan
pinjaman.
Sementara itu, beliau berkata, Skim Simpanan Pendidikan Nasional
(SSPN) kini mencecah RM456.02 juta membabitkan 1.03 juta penyimpan sehingga 30
Sept lepas. — Bernama
No comments:
Post a Comment