
SEREMBAN – Universiti Hanyang, Korea Selatan yang terkenal dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, berhasrat untuk membuka kampus cawangannya di Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika ini menjadi kenyataan, ia merupakan satu-satunya universiti Korea Selatan yang membuka kampusnya di luar negara itu.
"Usaha membawa universiti itu ke sini adalah dengan kerjasama Alumni Graduan Institusi Korea di Malaysia (Agiko).
“Saya bagi pihak kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan hasrat ini dan akan memberi segala bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk melihat impian ini menjadi kenyataan.
"Kalau ini menjadi kenyataan, saya yakin ini akan banyak memberi faedah dan kebaikan kepada negara kita memandangkan permintaan untuk bidang teknikal dan kejuruteraan kini semakin banyak dan kita kekurangan tenaga terlatih dalam bidang tersebut.
“Sebab itulah kerajaan memberi penekanan pada bidang ini untuk memenuhi keperluan tenaga terlatih dalam sektor industri di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dalam satu majlis sarapan dengan delegasi universiti diketuai presidennya, Duck-Ho Lim dan naib presiden Ki-Jeong Lee.
Katanya, kawasan yang dikenal pasti untuk mendirikan kampus berkenaan ialah di Enstek dan Sendayan. – Bernama
No comments:
Post a Comment