
Nur Alyssa Dania Mohd Saipol, disahkan meninggal dunia di Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, petang semalam (Khamis) kira-kira pukul 3
petang selepas dihantar oleh pihak taska pada pukul 1.30 petang kerana
kelihatan terlalu lesu.
Bapanya, Mohd Saipol Rizal Abu Seman, 26, seorang pembantu
restoran berkata sebelum dihantar ke taska, anaknya kelihatan sihat seperti
biasa dan semalam hari pertama dia serta isteri Roslina Roslin, 27, menghantar
bayinya itu ke taska berkenaan.
Katanya mereka menghantar Nur Alyssa Dania sebaik habis tempoh
berpantang bagi membiasakannya dengan persekitaran baru sebelum Roslina yang
bekerja sebagai pembantu farmasi mula bertugas Selasa ini.
“Kami hantar anak ke taska pukul 8.30 pagi semalam dan dapat tahu
anak dimasukkan ke hospital menerusi panggilan telefon daripada pihak hospital
pada pukul 3 petang semalam.
“Anak saya disahkan meninggal dunia pukul 3 lebih. Doktor ada
beritahu berdasarkan laporan awal bedah siasat ada jangkitan sedikit pada
paru-paru dan tiada kesan macam penderaan,” kata Mohd Saipol kepada pemberita
di sini, Jumaat.
Mohd Saipol bagaimanapun berkata dia akan menunggu laporan
siasatan terperinci pihak polis terlebih dahulu sama ada untuk mengambil
sebarang tindakan terhadap pihak taska.
Katanya jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Kampung Kota, Sungai Mati Jalan Langgar dekat sini pagi Jumaat.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar
Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya tidak dapat
mengesahkan punca utama kematian bayi itu.
“Doktor pun tidak dapat hendak sahkan punca bayi itu boleh
meninggal dan buat masa ini kami klasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,”
katanya.
Beliau berkata pihak polis akan meneruskan siasatan menyeluruh
termasuk mendapatkan kenyataan daripada pelbagai pihak yang terlibat sebelum
sebarang tindakan lanjut diambil. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment