PADAWAN: Meskipun memikul pelbagai tanggungjawab
di sekolah, namun itu bukan alasan untuk Devry Welin Duri tidak cemerlang dalam
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Menurutnya, walaupun berhadapan dengan pelbagai
cabaran sebagai seorang ketua pengawas tetapi itu menjadikan dia lebih
berdikari dan berdisiplin terutama berkaitan masa.
“Memang tanggungjawab sebagai seorang ketua
pengawas adalah berat, tetapi itu telah banyak memberikan saya motivasi
terutama dalam menyusun atur masa saya untuk belajar.
“Oleh itu, ia bukan satu bebanan tetapi memberi
peluang kepada saya untuk lebih berdikari lagi,” katanya.
Devry iaitu anak sulung kepada pasangan Duri
Ponit dan Weges Midok telah mendapat keputusan 5A dalam UPSR dan menerima
Anugerah Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul Bunuk.
Selain cemerlang dalam pelajaran, Devry juga
pernah mewakili sekolah, daerah dan kawasan dalam aktiviti sukan serta banyak
lagi.
“Bagi saya, perkara penting untuk mencapai
kejayaan adalah mempunyai jadual waktu, kerana daripada jadual tersebut kita
akan dapat membahagikan masa untuk belajar dan aktiviti lain,” katanya.
Devry yang mempunyai tiga orang adik
bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Sementara itu, datuk kepada Devry iaitu Midok
Rait berkata, mereka sudah menjangkakan keputusan tersebut kerana melihat usaha
Devry selama ini.
“Devry seorang yang rajin, dia tidak suka tengok
televisyen, apabila sampai di rumah dia akan menghabiskan masanya dengan
membaca buku dan dia juga sering membantu adik-adiknya dalam pelajaran,”
katanya.
Guru mata pelajaran Bahasa Melayu SK St Paul
Bunuk Metua Kure pula berkata, Devry seorang murid yang aktif dan
bertanggungjawab.
“Dia (Devry) adalah pelajar yang cemerlang dan
bertanggungjawab, sejak hari pertama lagi kami dah lihat kebolehannya itu malah
dia juga suka membantu murid lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment