Para pelajar Oman bersama kakitangan Universiti Curtin Sarawak di Lapangan Terbang Miri, baru-baru ini.
MIRI 15 Nov. — Universiti Curtin Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) terus menjadi tumpuan pelajar asing dengan yang terbaru ialah kemasukan 45 orang pelajar dari Oman.
Mereka merupakan antara pelajar tajaan kerajaan Oman yang akan mengikuti Program Intensif Bahasa Inggeris (IEP) Curtin Sarawak sebelum memasuki program pra universiti dalam jurusan Kejuruteraan dan Sains serta Perdagangan dan Seni.
Sebelum ini, Curtin Sarawak telah menerima 10 pelajar Oman yang mengambil pelbagai jurusan.
Kemasukan kumpulan terbaru pelajar Oman itu adalah hasil lawatan Kementerian Pelajaran Tinggi negara berkenaan ke negara ini Julai lalu.
Semasa lawatan tersebut, kementerian berkenaan bersetuju untuk menghantar pelajar mereka ke tiga buah universiti tempatan termasuk Curtin Sarawak.
Sementara itu, ketibaan penuntut berkenaan di Lapangan Terbang Miri telah disambut oleh Menteri Muda Komunikasi negeri, Datuk Lee Kim Shin yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Curtin Sarawak; Dekan Sekolah Asas dan Pembelajaran Lanjutan, Dr. Beena Giridharan dan kakitangan bahagian pengambilan pelajar antarabangsa.
Pro Naib Canselor Curtin Sarawak, Profesor Ian Kerr sewaktu mengulas mengenai kemasukan berkenaan berkata, pihaknya sudah merancang pelbagai aktiviti orientasi bagi membolehkan pelajar berkenaan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
"Kedatangan penuntut dari Oman akan memperkasa pengalaman pembelajaran ke tahap antarabangsa di sini.
"Setakat ini, kita mempunyai lebih 3,300 penuntut dari 40 negara," katanya sambil menambah Curtin Sarawak mensasarkan seramai 5,000 penuntut dalam tempoh lima tahun akan datang dengan pertambahan pelajar antarabangsa.
- Utusan

No comments:
Post a Comment