PUTRAJAYA 15 Nov. - Universiti ranking pertama di Scotland, Universiti Heriot-Watt akan membuka sebuah kampus cawangan di sini sebagai usaha menyediakan peluang pengajian ke peringkat tertinggi di Malaysia.
Kampus cawangan yang berharga RM130 juta itu akan direka bentuk oleh firma arkitek tempatan, Hijjas Fansuri Associates dan dijangka beroperasi pada 2014.
Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PjH), Datuk Azlan Abdul Karim berkata, kewujudan kampus universiti pertama di sini itu akan menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan lebih bertenaga dengan kehadiran ramai tenaga muda.
"Kami memilih universiti ini untuk didirikan di sini kerana United Kingdom terkenal di seluruh dunia sebagai universiti peneraju yang mempunyai kualiti dalam bidang kajian dan pembelajaran.
"Selain itu, kualiti sijil yang akan dianugerahkan kepada penuntut yang tamat pengajian di sini juga sama seperti di Scotland dan ini membolehkan setiap penuntut universiti ini bebas bergerak ke mana-mana kampus sekali pun kerana sijil itu diiktiraf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian untuk menyewa universiti kampus antara Universiti Heriot-Watt dan PjH di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Heriot-Watt, Profesor Stephen Chapman dan Setiausaha Kabinet Pelajaran dan Pengajian Sepanjang Masa, Scottish, Michael Russell.
Menurut Azlan, kampus universiti itu akan mula dibina sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Chapman berkata, pihaknya memilih Malaysia sebagai tempat untuk mendirikan kampus cawangan terbaru kerana terdapat ramai bekas penuntut universiti itu di sini.
"Pembukaan universiti ini di sini akan memberi peluang kepada ribuan penuntut dari Malaysia dan antarabangsa untuk belajar kos yang mempunyai darjah tinggi sama seperti di United Kingdom.
"Ini terbukti apabila sebuah kampus cawangan kita yang dibina di Dubai pada tahun 2005 telah berjaya menyediakan kualiti pembelajaran yang tinggi dan dalam masa menguntungkan pelajar, pihak industri dan kerajaan," katanya
- Utusan
No comments:
Post a Comment