Kerajaan hanya tunggu masa untuk pelaksanaan:
Lee
KUCHING: Dua lagi sekolah sukan bakal diwujudkan
di negeri ini bagi melahirkan lebih ramai atlet berwibawa untuk diketengahkan
ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata,
dua sekolah sukan terbabit masing-masingnya akan diwujudkan di zon utara, Miri
dan zon tengah, Sibu.
“Sememangnya kita telah mempunyai perancangan
untuk membina sekolah-sekolah sukan terbabit bagi membolehkan pelajar-pelajar
cemerlang dalam sukan ditempatkan di sekolah terbabit,” katanya ditemui Utusan
Borneo pada sesi rehat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Lee berkata, sebuah sekolah sukan iaitu Sekolah
Sukan Negeri (SMK Tabuan Jaya) telah diwujudkan dan kini menempatkan
pelajar-pelajar yang aktif dalam pelbagai sukan.
Beliau menarik perhatian bahawa cadangan
mewujudkan dua sekolah sukan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pelajaran
Sarawak dan menunggu untuk dilaksanakan.
“Kita telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan
Pelajaran dan saya berharap pihak terbabit dapat meluluskan sekolah sukan yang
kita mahu wujudkan,” katanya.
Lee ditanya mengenai cadangan itu setelah Dr
Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) mencadangkan pada Persidangan DUN di sini semalam
agar sekolah sukan yang bakal diwujudkan di Sibu dibina di kawasan Nangka.
Menurut Lee, kementeriannya akan meneliti
cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu dan berharap jika
kelulusan daripada pihak Jabatan Pelajaran akan dilaksanakan.
“Kita amat gembira dengan cadangan ADUN Nangka
itu dan kerajaan tiada mempunyai halangan untuk melaksanakan sekiranya pihak
terbabit meluluskannya,” kata beliau.
Sementara itu, Dr Annuar dalam ucapan
perbahasannya meminta kerajaan membina sekolah sukan di Nangka bagi membolehkan
atlet-atlet berbakat di Bahagian Sibu ditempatkan di sekolah terbabit.
Menurutnya, Sibu mempunyai ramai pelajar
cemerlang dalam pelbagai sukan justeru beliau memohon agar sebuah sekolah sukan
atau akademi sukan diwujudkan di Nangka, Sibu.
“Saya berharap kerajaan dapat mempertimbang
untuk membina sebuah sekolah sukan di Sibu agar kita dapat melahirkan lebih
ramai atlet bertaraf dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment