Powered by Blogger.

Friday, November 18, 2011

Engkilili Perlu Lebih banyak IPT - Dr Rayong

  NR       Friday, November 18, 2011

KUCHING: Konstituensi Engkilili memerlukan lebih banyak institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha melahirkan modal insan dan keperluan tenaga kerja pada masa akan datang.

Dr Johnichal Rayong Ngipa (BN-Engkilili) berkata ia pada masa yang sama turut menyumbang tenaga kerja kepada pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Institusi pengajian tinggi seperti Kolej MARA, Pusat GIATMARA atau kolej komuniti perlu ditubuhkan di Engkilili.

“Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan keperluan tenaga kerja dan profesional mahir kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2012 yang dibentangkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan DUN di sini, semalam.

Dr Rayong dalam pada itu berkata memandangkan Engkilili kekurangan dari segi IPT, beliau berharap SMK Engkilili dapat dinaik taraf untuk menempatkan pelajar Tingkatan Enam di sekolah berkenaan.

Katanya ia supaya anak-anak tempatan tidak perlu pergi jauh untuk melanjutkan pengajian ke peringkat menengah atas.

“Dengan ini juga ia mampu meringankan beban ibu bapa dari segi kewangan dalam pendidikan anak-anak,” tegas beliau.

Berhubung isu bantuan kebajikan di konstituensinya beliau mencadangkan agar pihak bertanggungjawab menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam menguruskan bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya menerima banyak aduan daripada pemohon yang menyatakan mereka tidak pernah menerima sebarang jawapan, maklum balas atau temu duga daripada jabatan berkaitan.

“Dan mereka juga terpaksa melalui proses yang panjang untuk membuat permohonan,” kata beliau.

Tambahan katanya apa yang paling menyedihkan bantuan seperti PPRT dan bantuan membaik pulih rumah tidak diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Dr Rayong yang turut menyokong Belanjawan Negeri 2012 yang dibentangkan Ketua Menteri Isnin lepas berkata, pembentangan belanjawan itu diharap dapat menaik taraf kehidupan, keselesaan serta sosioekonomi rakyat di bandar dan luar bandar.

“Seperti yang kita sedia maklum, pembentangan ini dapat mencerminkan hala tuju pembangunan Sarawak yang banyak memberi manfaat kepada rakyat amnya dan pembangunan ekonomi khasnya,” ujar beliau.

- UB
logoblog

Thanks for reading Engkilili Perlu Lebih banyak IPT - Dr Rayong

Previous
« Prev Post

No comments: