Powered by Blogger.

Sunday, November 13, 2011

Great Eastern Sumbang Beg Sekolah Kepada 21 Sekolah Rendah di Parlimen Batu Sapi

  NR       Sunday, November 13, 2011

SANDAKAN 11 Nov. - Great Eastern Life Assurance (M) Berhad hari ini menyumbang beg sekolah kepada 1,000 pelajar dari 21 sekolah rendah di Parlimen Batu Sapi sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Anggota Parlimen Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin dan Pengurus Komunikasi Korporat Great Eastern Life Assurance (M) Berhad Leong Pei Yee, di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib III, di sini.

Berucap pada majlis itu, Leong berkata, sumbangan beg sekolah itu merupakan antara komitmen pihaknya dalam membantu masyarakat tempatan melalui aspek pendidikan.

"Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan awal anak-anak masing-masing mengikuti sesi persekolahan akan datang serta memberi motivasi kepada pelajar," katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat insurans terbesar di negara ini, Great Eastern komited untuk membantu usaha kerajaan memperbaiki kualiti kehidupan kanak-kanak yang tidak bernasib baik.

Katanya, menerusi projek prihatin jangka panjang syarikat itu, ChildrenCare, berjaya memberi sumbangan lebih RM1.7 juta kepada 170 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara.

Leong berkata, Great Eastern kini mempunyai 21 pejabat cawangan di seluruh negara, termasuk di Sandakan yang dibuka sejak Mac lepas untuk kemudahan pelanggan.

Bersempena pembukaan cawangan pejabat syarikat itu di daerah ini, pihaknya menyumbang RM10,000 kepada Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan, katanya.

Dalam pada itu, Tsen berkata, inisiatif Great Eastern memberi sumbangan beg sekolah itu harus dicontohi syarikat swasta berstatus besar yang lain.

Katanya, syarikat insurans itu telah menunjukkan komitmen dalam menggalakkan rakyat negara ini menjalani hidup lebih baik dengan menyediakan perkhidmatan perlindungan kewangan, mempromosi gaya hidup sihat dan menjalin hubungan dengan masyarakat.

Menurutnya, Great Eastern juga secara konsisten membantu kanak-kanak kurang bernasib baik melalui pelaksanaan projek kemasyarakatan. - BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Great Eastern Sumbang Beg Sekolah Kepada 21 Sekolah Rendah di Parlimen Batu Sapi

Previous
« Prev Post

No comments: