SIBU: Seorang guru sebuah sekolah rendah di Dalat didapati
bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas empat tuduhan menyerang
murid sekolahnya dengan niat hendak mencabul kehormatan mereka.
Guru terbabit yang berusia 36 tahun, diperintah untuk dihadapkan
semula ke mahkamah pada 24 November ini bagi mendengar hukuman yang dijatuhkan.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut
Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun
atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.
Mengikut pertuduhan pertama, guru terbabit didakwa menggunakan
kekerasan dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang murid berusia 12 tahun
di asrama sekolah pada 30 Ogos 2005, kira-kira jam 7.30 pagi.
Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap
seorang lagi murid berusia 10 tahun sekitar bulan Jun 2005, kira-kira jam 2.30
petang.
Bagi pertuduhan keempat, guru terbabit didakwa melakukan kesalahan
sama sekitar bulan Ogos 2005, kira-kira jam 7.30 pagi terhadap mangsa yang
sama.
Dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa
yang berusia 10 tahun pada 30 Ogos 2005, kira-kira jam 7.30 pagi.
Sementara menunggu sebutan semula kes, tertuduh dibenarkan bebas
dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin.
- UB, 3 Nov 2011
No comments:
Post a Comment