Powered by Blogger.

Tuesday, November 22, 2011

Ibu Mohon Bantu Rawatan Anak 5 Tahun Hidap Ekzema Psoriasis

  NR       Tuesday, November 22, 2011

Noor Hasimah Mahmud menyapu ubat pada lengan Mohd. Alif Haikal Juhari yang menghidap penyakit ekzema psoriasis di Kampung Gajah Putih, Padang Sera, Jitra, Kedah, baru-baru ini.


KUBANG PASU 20 Nov. - "Saya tak sanggup tengok anak menderita, jadi saya harap sesiapa yang tahu penawar penyakit ini bantulah kami."

Itu luahan hati seorang ibu, Noor Hasimah Mahmud, 39, yang ingin melihat anak lelakinya, Mohd. Alif Haikal Juhari, 5, sembuh daripada penyakit kulit iaitu ekzema psoriasis yang dihidapinya.

Noor Hasimah berkata, anaknya disahkan menghidap penyakit itu sejak berusia enam bulan dan pelbagai ubat telah dicuba, namun penyakit anak keempat daripada lima beradik itu tetap tidak pulih.

"Doktor ada cakap buat masa ini tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini, namun kami percaya setiap penyakit ada penawarnya.

"Sebab itu kami mohon kepada sesiapa yang tahu mengenai penawar penyakit ini datang berkongsi maklumat itu dengan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gajah Putih, Padang Sera di sini baru-baru ini.

Wanita itu risau kerana anaknya akan mula memasuki sekolah rendah tidak lama lagi dan penyakit itu membuatkan anaknya berasa rendah diri kerana sering diejek oleh kanak-kanak lain.

"Sekarang saya hantar dia ke sekolah tadika untuk membiasakannya dengan suasana persekolahan, namun kadang-kadang dia balik mengadu rakan-rakan lain ejek dia hantu.

"Saya risau bagaimana keadaan dia apabila mula memasuki darjah satu nanti," jelasnya.

Tambahnya, penyakit ekzema psoriasis itu membuatkan kulit anaknya mengelupas sehingga sampai ke satu tahap kulit tapak kaki anaknya akan tertanggal.

"Waktu itu memang Alif tidak mampu berjalan, semuanya terpaksa saya buat seperti memandikan dan menyuap makan. Kulit di badannya mengelupas dan pada waktu itu dia hanya boleh menangis kesakitan," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu Noor Hasimah boleh menghubunginya 012-4656240.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Ibu Mohon Bantu Rawatan Anak 5 Tahun Hidap Ekzema Psoriasis

Previous
« Prev Post

No comments: