KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan memaksa peminjam yang belum mendapat pekerjaan membuat pembayaran balik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
“Kerajaan sentiasa sedaya upaya untuk membantu pelajar bagi mendapatkan bantuan kewangan, malah kita juga bermurah hati untuk membantu mereka sekiranya mereka belum mendapat pekerjaan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai pendirian kerajaan terhadap peminjam yang belum mendapat pekerjaan.
Timbalan menteri itu turut menegaskan bahawa kerajaan akan membantu peminjam yang disenarai hitam untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sekiranya mereka mendapat tawaran.
“Tidak dinafikan ada di kalangan mereka telah disenarai hitam tetapi jika mereka datang ke PTPTN kita akan bantu mereka kerana mereka mempunyai alasan yang munasabah,” katanya.
Menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Saifuddin berkata kerajaan tidak bercadang meminda dasar PTPTN untuk mencakupi pemberian pinjaman kepada pelbagai kursus ijazah profesional seperti yang dikeluarkan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Pengurusan Akauntan Berkanun (CIMA) atau Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW).
Kepada soalan Matulidi Jusoh (BN-Dungun) pula, Saifuddin berkata institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menawarkan yuran pengajian percuma terutama di peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).
Bagaimanapun, katanya, kerajaan menawarkan penajaan untuk penuntut yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan PhD di IPTA dan IPT swasta terpilih di bawah program MyBrain15 dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan yuran pengajian di-biayai mengikut jumlah mak- simum iaitu RM10,000 bagi peringkat sarjana dan RM24,000 bagi PhD.
“Program ini terbuka kepada graduan yang belum bekerja, tak berpendapatan tetap dan kakitangan sektor swasta dan pensyarah IPTS,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment