Powered by Blogger.

Friday, November 18, 2011

Jelaing Mersat Sampai Cek RM100,000 Baiki Jalan di Sekolah SMK Saratok

  NR       Friday, November 18, 2011

Kebolehan pendidik, kemajuan teknologi terkini harus selari dengan kemajuan bidang pendidikan

SARATOK: Kebolehan tenaga pengajar dan kemajuan teknologi terkini sesebuah sekolah harus bergerak selari dengan kemajuan bidang pendidikan dewasa ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Jelaing Mersat berkata keseragaman kedua-dua faktor ini akan membolehkan pelajar negara ini tidak kira di mana lokasi sekolah mereka, mendapat pendidikan berkualiti dan terkini.

Jelaing berkata sekiranya perkara ini dapat direalisasikan dengan jayanya, nescaya ilmu yang diperolehi mampu digunakan untuk membangunkan negeri ini dalam pelbagai sektor.

“Pelajar terutama di kawasan Saratok perlu bangkit dan memajukan diri dalam bidang akademik dan kokurikulum bagi memastikan mereka mempunyai masa depan yang cerah serta memperoleh ilmu pengetahuan untuk memajukan negeri dan masyarakat.

“Generasi pelapis negara kita harus mempersiapkan diri mereka dengan segala ilmu pengetahuan kerana ia bukan sahaja untuk melakar masa depan yang cerah tetapi juga amat diperlukan bagi memajukan pembangunan sektor swasta, kerajaan dan kawasan-kawasan baru seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Hab Halal Tanjung Manis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Peter Howell ketika perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok, semalam.

Jelaing turut menasihati golongan remaja agar menyediakan diri mereka dengan semua aspek terutama dari segi disiplin diri, ketabahan, ajaran agama dan perkara-perkara lain yang mampu dijadikan sebagai sokongan dalam menghadapi segala bentuk cabaran mendatang.

Sementara itu Pengetua SMK Saratok Alexander Joeng Rimok berkata, anugerah kepada pelajar cemerlang adalah majlis yang penuh bermakna kerana ia memberi penghargaan dan insentif kepada pelajar cemerlang sebagai suntikan semangat untuk mereka terus maju.

“Pada tahun ini kita ada 18 kategori anugerah dengan lebih 200 orang penerima dan dengan hasil usaha 64 guru, kita mampu memberi pendidikan berkualiti kepada pelajar walaupun sesetengah bilik kelas berada di tahap yang perlu diperbaiki.

“Sejak dibuka pada 1942, SMK Saratok tidak putus-putus melahirkan pelajar terbaik di negeri ini dan pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010, sekolah kita telah terpilih sebagai sekolah terbaik di bahagian Betong dengan GPS 2.8 manakala pada peperiksaan SPM tahun yang sama kita juga terpilih sebagai yang terbaik dengan GPS 5.64 dan mengatasi keputusan peringkat negeri,” kata Alexander.

Selain daripada itu keputusan pelajar yang melonjak dengan baiknya pada tahun 2010 juga telah membolehkan 140 pelajar atau 82 peratus daripada 164 pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini, katanya.

Pada majlis tersebut Peter Howell turut menyampaikan cek bernilai RM100,000 kepada SMK Saratok bagi membaiki jalan raya di kawasan sekolah yang rosak.

- UB
logoblog

Thanks for reading Jelaing Mersat Sampai Cek RM100,000 Baiki Jalan di Sekolah SMK Saratok

Previous
« Prev Post

No comments: