Powered by Blogger.

Friday, November 18, 2011

Sarawak Akui Kesukaran Untuk Agih Wang Bantuan Persekolahan RM100 - Fatimah

  NR       Friday, November 18, 2011
KUCHING, 18 Nov (Bernama) -- Pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan luar bandar Sarawak yang layak mendapat wang bantuan persekolahan RM100 daripada kerajaan hanya akan menerima wang itu ketika cuti persekolahan iaitu sebelum sesi persekolahan tahun depan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata merujuk kepada maklumat daripada Jabatan Pelajaran Sarawak semalam mendapati tidak semua sekolah menengah dan rendah di negeri ini mempunyai Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (AKWK) yang digunakan untuk menyalurkan wang bantuan itu.

"Sesi sekolah yang berakhir hari ini tidak berkesempatan untuk mengagihkan wang tersebut kepada pelajar dan kebanyakan pelajar khasnya yang tinggal di asrama sudah pastinya pulang ke kampung masing-masing," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian karnival Pendidikan Komanwel 2011 di sebuah pusat beli-belah di sini Jumaat.

Beliau berkata kaedah untuk menggunakan akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mengagih wang bantuan juga tidak sesuai kerana sesetengah tempat di negeri ini tidak mempunyai bank berkenaan dan untuk berurusan juga terpaksa menelan kos pengangkutan yang tinggi.

Menurutnya kaedah terbaik untuk memastikan pelajar mendapat bantuan itu adalah melalui pihak sekolah sendiri dengan bantuan kawalan keselamatan daripada pihak polis.

Fatimah turut mengingatkan pihak sekolah agar mengagihkan terus wang bantuan kepada pelajar tanpa membuat sebarang potongan bayaran persekolahan.

"Kita tahu niat guru baik untuk mengelak duit tersebut dibelanja di tempat lain, namun adalah lebih baik ia diserah terus kepada pelajar atau ibu bapa mereka seboleh-bolehnya sebelum sesi persekolahan bermula untuk membeli peralatan persekolahan seperti beg dan baju sekolah," katanya.

Terdahulu semasa berucap, Fatimah berkata penguasaan bahasa Inggeris masih penting dalam bidang pendidikan khas ketika era globalisasi kerana bahasa itu diguna secara meluas seluruh dunia.

Katanya penguasaan dalam bahasa Inggeris akan lebih membantu seseorang itu melangkah lebih jauh dalam bidang kerjayanya selain mampu untuk bersaing dalam pasaran kerja profesional di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Sarawak Akui Kesukaran Untuk Agih Wang Bantuan Persekolahan RM100 - Fatimah

Previous
« Prev Post

No comments: