BALIK PULAU 25 Nov. - Anak syarikat Kementerian Kewangan, JKP Sdn. Bhd. membuka lembaran baru dalam sistem pendidikan negara apabila mengambilalih pengurusan Island College of Technology (ICT) di Balik Pulau di sini.
Penasihat Khas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pengambilalihan tersebut amat penting dalam usaha untuk memberi peluang lebih ramai golongan bumiputera di negeri tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Tambah Zainal Abidin yang juga Pengerusi JKP Sdn. Bhd, peralihan itu juga mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran dan berpengalaman untuk ditawarkan kepada sektor pekerjaan yang ketika ini dimonopoli mereka yang kurang mahir.
''Pulau Pinang mempunyai banyak sektor perkilangan dan perindustrian. Ini menyebabkan ramai di antara anak-anak kita sebaik sahaja lepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus pergi bekerja di situ kerana tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tempatnya terhad ataupun kerana tidak mampu membayar yuran pengajian di IPT swasta yang tinggi.
''Justeru, ICT menyediakan alternatif kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan diploma dengan kadar yang sangat berpatutan. Ini kerana, apa yang lebih penting, kita mahu menjadikan semua rakyat di negeri ini mempunyai diploma dan ijazah, berkemahiran dan berpengalaman," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Kolej Teknologi Pulau (ICT) oleh JKP Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, Zainal Abidin mewakili JKP manakala ICT diwakili Pendaftarnya, Abdul Halim Muhamod.
Menurut Zainal Abidin, sejak ditubuhkan 14 tahun lalu, ICT telah melahirkan 3,500 graduan berkemahiran yang kini telah memasuki sektor pekerjaan.
Tambahnya, pihaknya menyasarkan untuk mengambil kira-kira 1,000 pelajar setahun selepas proses pengambilalihan itu dibuat.
''Pengambilalihan ini untuk memberi satu nafas baru dan anjakan paradigma kepada kolej supaya lebih berdaya maju. Sekarang kita (ICT) ada 18 program dan kita bercadang untuk menawarkan lebih 20 program pada tahun depan dengan mencakupi bidang-bidang lain seperti perbankan Islam dan bioteknologi.
''Kita juga mahu menambah pelajar dan tenaga pengajar. Semuanya akan kita lakukan secara berperingkat mengikut apa yang telah dirancang. Sekarang, kita hanya ada 300 pelajar sedangkan kapasiti sebenar kolej ini mampu sehingga 3,000 orang pelajar. Justeru, kita perlu bekerja keras memperbaiki setiap kelemahan terutama dari segi pemasaran," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment