Powered by Blogger.

Wednesday, November 30, 2011

Pelajar Tingkatan 3 MRSM Hilang Ditemui Di Longgokan Sampah

  NR       Wednesday, November 30, 2011


MACHANG - Pelajar tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Sat, dekat sini Sabtu lalu, ditemui mati lemas, semalam.

Mangsa, Mohd Alif Razwan Azman, 15 ditemui terapung di longgokan buluh dan sampah sarap di Sungai Jejawi Kampung Tandak oleh penduduk pada jam 1.05 petang, kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dihanyutkan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, mangsa bersama tujuh rakannya mandi di Sungai Sat, Kemuning pada jam 4.30 petang sebelum dihanyutkan arus deras setengah jam kemudian.

“Operasi mencari telah masuk hari keempat pada hari ini ( semalam) dengan kekuatan 91 anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan termasuklah Polis, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Unit Res Q Jabatan Pelajaran Negeri.

“Turut terlibat ahli Skim Rondaan Sukarela sekitar jajahan Machang, Rakan Keselamatan Tanah Merah, Machang, Jeli dan penduduk kampung. Kerjasama yang baik ini banyak membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat. Terima kasih kepada semua yang terlibat,’’ katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Che Malek berkata, operasi mencari disambung pagi semalam sehingga mayat mangsa ditemui dan dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.

Kelmarin, ibu mangsa, Ruslina Awang, 45 berkata, Alif meminta izin keluar ke rumah jiran mereka kira-kira jam 12.30 tengah hari dan 10 minit kemudian dia menelefon jirannya itu bagi memastikan Alif ada di sana.

“Apabila jiran saya memberitahu Alif ada di sana, saya berasa lega. Hati saya terasa berat untuk mengizinkan dia pergi pada mulanya namun memikirkan dia banyak menghabiskan masa di rumah sejak cuti sekolah, saya izinkan juga dia pergi.

“Kira-kira jam 3 petang saya tertidur dan apabila tersedar dua jam kemudian saya terus solat Asar. Selepas itu saya menyedari Alif belum balik. Ketika sedang berfikir sendirian saya dikejutkan dengan teriakan rakannya yang memberitahu Alif lemas,’’ katanya.

Lebih menyedihkan keluarganya apabila abang mangsa, Amar Amzar, 17 menemui sekeping kertas yang tertulis lirik lagu ‘ Pergi Tak Kembali’ nyanyian Rabbani dalam saku baju Melayu yang dipakai mangsa, kelmarin.

- SH
logoblog

Thanks for reading Pelajar Tingkatan 3 MRSM Hilang Ditemui Di Longgokan Sampah

Previous
« Prev Post

No comments: