BINTULU: Seorang Ibu tidak menduga anak
perempuannya yang berusia enam tahun hilang begitu sahaja selepas bermain
dengan kawan-kawannya berdekatan dengan rumahnya di Kampung Baru Laut di sini
lewat petang kelmarin (Ahad).
Bahkan sebelum kehilangannya, kanak-kanak itu
yang dikenal pasti sebagai Siti Nor Hajar Mohd Rashidi sempat memesan kepada
ibunya untuk membeli buah rambutan.
Kali terakhir ibunya melihat anaknya itu adalah
pada jam 2.30 petang kelmarin di rumahnya di sini.
Ibu kanak-kanak itu, Suriana Yunus, 27, berkata
anaknya itu berkeadaan seperti biasa bahkan setiap kali dia ke pasar anaknya
itu selalu memesan membeli barang makanan untuknya.
“Kelmarin anak saya ada memesan membeli buah
rambutan. Dia cakap hendak makan buah itu.
“Saya pun membelinya tetapi bila saya balik dari
pasar saya mencarinya dan saya tidak nampak kelibatnya di rumah dan kawasan
tempat dia bermain.
“Rambutan yang anak saya pesan itu masih ada saya
simpan. Saya tiba di rumah sekitar 7 malam kelmarin selepas membeli barang di
kedai. Saya memanggil anak saya tetapi dia tidak menyahut.
“Lantas saya pergi mencarinya di sekitar tempat
dia bermain dan rumah jiran, saya mencarinya dengan menunggang motosikal namun
saya hampa tidak menjumpainya,” katanya dengan nada sebak semasa ditemui di
Kampung Baru Laut di sini semalam.
Suriana berkata, anak sulungnya itu sebelum ini
bersama adiknya bermain di kawasan kampung berdekatan dengan rumahnya di sini
dan hilang antara jam 5 dan 6 petang.
“Adiknya Mohd Fadzley, 4, ada memberitahu saya
yang kakaknya ada mengikut seseorang. Tetapi tiada saksi lain yang melihatnya.
“Saya tidak pasti sama ada anak saya itu jatuh
dalam sungai, disembunyi makhluk halus atau di bawa orang lari. Itu hanya
sangkaan saya,” jelasnya yang dikurniakan dua cahaya mata dan telah 11 bulan
bercerai dengan suaminya.
Sambil tidak menyangka kejadian itu akan menimpa
katanya: “Setiap kali saya membeli barang di kedai saya selalu meninggalkan dua
anak saya dengan adik-beradik saya dan nenek mereka dan mengharapkan mereka
menjaganya, namun saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku kerana perkara
sebegini tidak pernah terjadi.
“Saya tidak mahu tuduh sesiapa mengambil anak
saya itu. Polis pun telah menyiasat dan kini sedang giat mencari anak saya itu.
Mungkin ada orang lain yang mengambilnya,” katanya.
Ujarnya, beberapa usaha lain yang telah saya
lakukan ialah dengan menggunakan khidmat empat orang bomoh dan ada bomoh
memberitahu yang anak saya disembunyikan oleh makhluk halus, ada yang
mengatakan anak saya itu diculik orang dan takut untuk memberi kepada saya
balik, ada yang mengatakan anak saya jatuh dalam sungai.
“Pelbagai versi cerita yang berbeza saya terima.
Di samping itu ada juga saya diberitahu oleh bomoh yang anak saya itu
disembunyi oleh orang yang dekat-dekat dengan kawasan kampung ini.
“Pihak polis dan pihak berkuasa lain juga telah
pun bertindak mencari anak saya itu dan saya juga telah mengedarkan gambar
mengenai kehilangannya di semua tempat dan pasar di sini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini anaknya itu
belum dijumpai dan khabar mengenainya juga belum diterima.
“Saya telah pun membuat laporan polis sekitar jam
7.30 pagi tadi (semalam),” katanya sambil menambah anaknya merupakan murid
prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di sini dan tahun depan akan
memasuki Tahun Satu.
Katanya, dia juga telah pun memaklumkan mengenai
kehilangan anak saya itu kepada guru-gurunya di sekolah.
Justeru katanya, dia merayu sesiapa yang ada
melihat atau kenal dengan anaknya agar menghubunginya di talian 013-8480265
atau bapanya, Mohd Rashidi (014-5978414) atau memaklumkan kepada balai polis
terdekat.
Usaha untuk menjejaki Siti Nor Hajar juga kini
giat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat,
Pasukan Gerakan Marin (PGM) sama ada di darat dan sungai. Mereka turut berada
di Kampung Baru Laut di sini untuk operasi mencari Siti Nor Hajar semalam.
-
UB
No comments:
Post a Comment