Powered by Blogger.

Tuesday, November 01, 2011

Audit: Makmal komputer 8 Sekolah Bestari gagal disiapkan

  NR       Tuesday, November 01, 2011

KUALA LUMPUR 25 Okt. — Pembinaan makmal komputer di lapan Sekolah Bestari di Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan belum dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan sehingga Disember tahun lepas selain terdapat kerja pembinaan yang kurang memuaskan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Meskipun kerajaan telah merancang melaksanakan 27 makmal komputer di Sekolah Bestari yang melibatkan empat negeri dengan kos berjumlah RM20.59 juta, keberkesanannya kepada pengguna belum dicapai, kata laporan itu.

Tinjauan Audit mendapati reka bentuk makmal Sekolah Bestari tidak praktikal kerana skrin tingkap diperbuat daripadapolycarbonate dengan mild steel yang mudah pecah dan tidak tahan lama manakala peralatan ICT dan perabot pula belum dibekalkan kepada semua lapan sekolah yang dilawati.

Selain pemasangan siling dilihat tidak praktikal, ketiadaan bumbung bagi tangga kecemasan di luar bangunan menyebabkan lantai basah dan mudah tergelincir ketika hujan, kata laporan itu.

Tinjauan Audit daripada aspek latihan berterusan terhadap pengendalian peralatan dan perisian komputer pula mendapati ada kelemahan daripada segi pengajaran dan pembelajaran.

Meskipun temubual di 39 sekolah di Semananjung menunjukkan kontraktor telah memberi latihan kepada guru terlibat semasa penyerahan ICT, tiada kesinambungan dilakukan terhadap pemindahan teknologi antara guru dan tenaga pengajar baru, dan ini membawa kepada kerugian kepada sekolah khususnya pelajar kerana perisian teknologi tersebut tidak dimanfaatkan sebaiknya, menurut laporan itu.

"Kerja pembinaan tidak sempurna, bekalan peralatan yang terhad serta penyediaan skop kerja yang tidak praktikal menyebabkan kerugian kepada projek ini kerana kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan bagi tujuan penyelengaraan atau pengubahsuaian,” kata laporan itu.

Bagi memastikan segala kelemahan diatasi dan makmal komputer dapat digunakan dengan cekap dan berkesan, pihak Audit mencadangkan supaya kementerian meningkatkan pemantauan terhadap status pembinaan, kualiti projek, memastikan kontraktor membaik pulih kerja yang terbengkalai serta mengambil tindakan menyenaraihitamkan nama kontraktor terlibat. — Bernama
logoblog

Thanks for reading Audit: Makmal komputer 8 Sekolah Bestari gagal disiapkan

Previous
« Prev Post

No comments: