Kuala Lumpur, 3 Nov : Beberapa Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) bersetuju supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda bagi mendedahkan mahasiswa kepada politik dan dunia kepimpinan sebenar.
Bagaimanapun pada masa sama mereka mengharapkan agar akta tersebut masih mempunyai kuasa untuk mengawal mahasiswa daripada terlalu aktif terlibat berpolitik sehingga mengabaikan pelajaran.
MPM USM setuju mahasiswa berpolitik

Muhammad Idzuan Jamalludin
Presiden MPM Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Idzuan Jamalludin berkata, jika hal ehwal politik semasa tidak didedahkan di peringkat universiti, dibimbangi pemimpin yang bakal dilahirkan kelak tidak peka kepada perkembangan politik negara.
“Secara peribadi, saya bersetuju bahawa mahasiswa dibenarkan terlibat dengan politik. Bagaimanapun, ia perlu dikawal agar mereka tidak lupa tanggungjawab sebagai pelajar.
“Mungkin dalam penambahbaikan akta tersebut, ia perlu dijelaskan senario sewajarnya yang membolehkan seseorang mahasiswa itu melibatkan diri dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan.
MPM UKM : Umur 21 apa gunanya

Ahmad Muzzammil Muhd. Hairi
Sementara itu, Presiden MPM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Muzzammil Muhd. Hairi menjelaskan, peringkat umur yang sesuai perlu ditetapkan kepada mahasiswa untuk melibatkan diri dalam politik.
“Memandangkan rakyat Malaysia diberi kelayakan mengundi apabila umur mencecah 21 tahun, saya juga beranggapan agar mahasiswa bebas untuk berpolitik apabila melepasi umur tersebut.
“Namun, kebebasan berpolitik itu haruslah bersesuaian dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mahasiswa tersebut,” ujarnya.
Gunakan peluang, jangan emosi – MPMUM
Mohd. Syahid Mohd. Zaini
Dalam pada itu, Presiden MPM Universiti Malaya (UM), Mohd. Syahid Mohd. Zaini menasihatkan, jika keputusan mahkamah itu kekal, mahasiswa perlu menggunakan peluang berpolitik dengan bijaksana, bukannya mengikut emosi.
“Kebebasan bersuara sebagai rakyat Malaysia walaupun bergelar mahasiswa perlu digunakan sebaik mungkin untuk menonjolkan kewibawaan selaku pemimpin akan datang.
“Tetapi, saya berharap AUKU dimansuhkan dan diwartakan satu akta lain yang lebih terbuka kerana kekangan yang terdapat di bawah itu membuatkan remaja terutamanya mahasiswa tidak peka dengan isu semasa dan pasif dalam berpersatuan,” jelasnya.
MPP UMK : Yang baik perlu kekal

Ikhwan Syafaat Jalaini
Sementara itu, di Kota Bharu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) terbatal dan melanggar Perlembagaan sebagai selari dengan tujuan akta itu sendiri.
Timbalan Presiden I MPP UMK, Ikhwan Syafaat Jalaini berkata, akta itu bukan berniat mahu mengongkong pelajar tetapi menjunjung kebebasan berakademik warga universiti.
Sehubungan itu katanya, kerajaan wajar meminda atau memansuhkan mana-mana peruntukan dalam AUKU yang bercanggah dengan aspirasi tersebut.
“Kita mohon kerajaan mengkaji semula peruntukan dalam AUKU, mana-mana yang baik dikekalkan dan apa yang tidak relevan dengan situasi semasa perlu dipinda atau dimansuhkan.
“Pada pandangan saya, keputusan membatalkan peruntukan yang menyekat pelajar memberi sokongan kepada kegiatan politik, bukan semata-mata merujuk kepada kebebasan berpolitik tetapi ia merangkumi perkara lebih besar iaitu kebebasan berakademik,” katanya.
- Sumber : GZDaily

2 comments:
Kerajaan Jangan Tak Buat Rayuan. Tunggu dulu, apa pula kata Mahkamah Persekutuan.
Apakah berpuak-puak dan berpecah belah dalam kampus kerana fahaman politik suatu yang dikehendaki dan baik di IPTA sebagai tempat pengajian? Apa relevannya parti politik dikampus dan apa hak mereka untuk mencampuri urusan dan dasar IPTA? Maka Mahkamah Rayuan perlu nampak dan jangan pura-pura tidak nampak bahawa kekangan pada auku adalah untuk menghilangkan benih yang akan menjejaskan kententeraman awam (pubic order) di sesebuah IPTA agar falsafahnya sebagai tempat pengajian dihormati. Pun begitu, politik (seperti sukan etc)sebagai sebuah kurikulum (matapelajaran) dengan buku dan artikel rujukan digalakkan.
Pendidikan haruslah bedasarkan pemikiran secara disiplin (seperti thesis) bukannya pemikiran yang tanpa disiplin dan haru biru. Mungkin pemikiran "haru biru dan kurang disiplin" adalah lumrah bagi orang politikus namun pendidikan dan dasar pengajian, pemikiran itu hendaklah berstruktur dan berdisiplin.
Kalau jaguh berfikiran, buatlah artikel dan thesis dengan metolodoginya dan sebagainya.
Tanggapan bahawa berpolitik boleh merangsangkan pemikiran berdisiplin itu suatu tanggapan yang terpesong. Pendidikan itu pemikiran berdisiplin harus difahami bukan pemikiran beremosi dan popular.
AUKU tidak sedikitpun menghalang sesiapa yang berkelayakan mengundi.
http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/sendiri-mau-ingat-bila-sultan-selangor-tak-berkenan-orang-politik-masuk-unisel.html
SELASA, 09 OGOS 2011 00:12
... Sultan Selangor bertitah lagi, kali ini mengingatkan pihak-pihak berkenaan supaya politik kepartian tidak dicampuradukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (UNISEL) demi masa depan pelajar institusi itu.
Para profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya Kuala Selangor.
Menurut Baginda amat merugikan sekiranya seseorang pelajar itu membuang masa untuk berpolitik dan tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik.
"Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.
"Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini, titah Baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda telah menerima pengaduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di UNISEL dan jika ini berterusan, kemungkinan besar ada ibu bapa yang tidak akan menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti ini.
-------------------------
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm
Abdul Aziz perlu berhenti pensyarah jika mahu berpolitik - Khaled
05/11/2011 5:16pm
MOHAMAD FIKRI ROSLY
JOHOR BAHRU 5 Nov. - Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dinasihat meletakkan jawatan sebagai pensyarah jika benar-benar mahu bercakap di atas pentas politik dan tidak perlu menunggu tindakan daripada universiti tersebut.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, universiti adalah institusi yang mengutamakan pencapaian akademik dan perlu berada dalam keadaan neutral demi mencapai matlamat menjayakan bidang pendidikan.
"Saya menasihatkan Abdul Aziz Bari berhenti menjadi pensyarah kalau mahu memilih pentas politik. Jika sudah menyertai ceramah politik yang mengandungi fitnah, tidak perlu menunggu tindakan daripada UIAM lagi.
"Sebaiknya dia terus berhenti dan menyertai parti yang disokong," katanya kepada pemberita selepas pertandingan bola keranjang Persatuan Persaudaraan Kristian Visi Johor Bahru di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, beliau sedar Abdul Aziz memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana dekat sini malam tadi tetapi yakin penduduk tidak akan termakan dengan perkara yang disampaikan.
Tambahnya, antara yang hadir adalah ahli UMNO Pasir Gudang sendiri yang mahu mendengar hujah profesor itu yang kini dalam siasatan UIAM berikutan kenyataannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, baru-baru ini. - Utusan
Post a Comment