ARAU:
Akibat kebosanan, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang bertindak
melarikan diri dari asrama sekolahnya, dekat sini, berdepan detik menyayatkan
hati apabila menjadi mangsa rogol seorang lelaki pada Khamis lalu.
Mangsa dipercayai memanjat pagar asrama kira-kira jam 10.45
malam sebelum terserempak dengan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah
stesen bas lalu mempelawa diri untuk menemani gadis itu. Ketua Polis Daerah
Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, suspek kemudian membawa mangsa
bersiar-siar di Kangar, dekat sini, sehingga tengah malam.
Katanya, mangsa yang berasal dari Lubuk Sireh tidak dapat
pulang ke asramanya kerana sudah lewat malam sebelum diajak pulang ke rumah
lelaki terbabit.
“Mangsa tidak mengesyaki sesuatu yang buruk apabila suspek
memaklumkan tinggal bersama keluarga selain berjanji menghantarnya pulang ke
asrama pada keesokan paginya.
“Percaya dengan kata suspek, mangsa mengikut lelaki itu
pulang ke rumahnya sebelum dirogol serta dikurung sehingga petang keesokkan
harinya. Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri ketika ketiadaan lelaki
itu,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah yang terkejut dengan kehilangan
mangsa dari asrama kemudian mencarinya sebelum berjaya menemuinya pada petang
kelmarin.
Katanya, selepas disoal, mangsa memberitahu dia keluar dari
asrama sekolah sebelum dirogol suspek menyebabkan laporan berhubung kejadian
dibuat di Balai Polis Arau untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan laporan polis, suspek ditahan kira-kira jam 5
pagi tadi (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan
kerana merogol,” katanya.
myMetro
20 Nov 2011
No comments:
Post a Comment