Kurangnya pemantauan telah menyebabkan malahan penjawat awam turut menerima diesel subsidi, dakwa Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian (PKR-Ba'Kelalan).
Katanya kegagalan untuk menahan mereka yang menyalahgunakan subsidi itu akan menyebabkan golongan miskin di bandar dan luar bandar menanggung beban kewangan manakala ejen atau ahli perniagaan tidak bertanggungjawab itu mengaut keuntungan.
"Contohnya di kawasan saya memang sudah diketahui umum iaitu orang yang tidak ada bot atau jaring mendapat diesel subsidi untuk dijual. Malahan terdapat penjawat awam yang diberikan keistimewaan itu.
"Berlaku insiden di mana seorang isteri ketua kampung yang diminta membeli gula daripada ejen dilantik telah dinafikan barangan itu dengan diberitahu barangan itu sudah kehabisan, tetapi telah dijual ke kawasan sempadan di Kalimantan Indonesia," dakwanya.
Bian berkata demikian pada perbahasan bacaan kedua Rang Undang-undang Perbekalan (2012) atau Belanjawan 2012 di Dewan Undangan Negeri.
Katanya penyelewengan subsidi pada ketika ini banyak berlaku dan pihak berkuasa perlu segera bertindak, menyiasat dan menahan pihak yang mendalangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Beliau juga mencadangkan pengambilan guru di kalangan penduduk setempat di negeri ini untuk tadika dan prasekolah ditingkatkan.
Pada masa sekarang, katanya kebanyakan guru yang berkhidmat di tadika atau prasekolah di Sarawak ialah dari Semenanjung.
"Yang keduanya, saya cadangkan peruntukan diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan agama," katanya dan menurutnya peruntukan itu boleh digunakan untuk memulakan atau membantu tadika atau prasekolah yang dikendalikan mereka.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment