Putera Andrew (tengah) bersama Abdul Ghani Othman dan barisan tenaga pengajar serta pentadbir Universiti Perubatan Newcastle memasuki The Iskandar Demonstration Theatre, Nusajaya, Johor
NUSAJAYA 1 Nov. - Duke of York, Putera Andrew hari ini merasmikan kampus Universiti Perubatan Newcastle (NUMed) Malaysia yang dibina di EduCity@Iskandar Malaysia, di sini.
Dalam ucapan ringkasnya, Putera Andrew berkata, pembukaan institusi pengajian tinggi itu adalah sebagai wadah untuk memperkenalkan universiti tersebut di mata dunia dan membolehkan mereka melahirkan lebih ramai graduan cemerlang.
"Senibina NUMed bukan saja menarik, malah, kita berharap ia dapat menggalakkan penuntut jurusan perubatan di seluruh dunia untuk memilih belajar di institusi ini," katanya.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Canselor NUMed, Sir Liam Donaldson; Naib Canselornya, Prof Chris Brink; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Reg Jordan.
Kampus berkeluasan 123.4 hektar itu adalah projek pertama yang disiapkan Iskandar Investment Berhad (IIB) dalam tempoh ditetapkan sekali gus menjadi pemangkin bagi pembinaan lain-lain universiti yang bakal ditempatkan di kawasan itu.
Kira-kira 80 penuntut perubatan universiti tersebut sedang mengikuti pengajian selama lima tahun bermula September lalu dan dijangka meningkat kepada seramai 900 orang menjelang 2017.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pembukaan NUMed di kawasan Iskandar Malaysia mampu menjadi pemangkin bagi melahirkan lebih ramai doktor untuk memenuhi keperluan negara selain membantu meningkatkan tahap kesihatan dalam kalangan penduduk negeri itu.
Menurutnya, piawaian kesihatan di negara ini bukan sahaja memerlukan doktor yang berkualiti, malah, pelaburan dalam bidang berasaskan kesihatan mempunyai nilai tambah yang kekal.
"Nisbah bagi bidang perubatan kini adalah seorang doktor bagi 1,000 pesakit, namun, dengan adanya universiti seperti NUMed, ia dijangka dapat dikurangkan kepada seorang doktor bagi 400 pesakit dalam tempoh lapan tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata, pembinaan NUMed bukan sahaja menyumbang kepada pertambahan jumlah doktor, malah, membuka peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan.
- Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment